KUALA LUMPUR, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menegaskan pihaknya akan bersikap neutral dalam memantau pihak berkuasa dan peserta perhimpunan Bersih 4 pada hujung minggu ini bermula 29 Ogos hingga 30 Ogos.


Pesuruhjaya Suhakam, James Nagayam berkata, suruhanjaya itu juga akan menyediakan laporan berhubung pemantauan yang akan dibentangkan kemudian dalam satu mesyuarat untuk tindakan lanjut.

“Pasukan kami sedia untuk menjalankan pemantauan dengan peralatan lengkap bagi mencatat perkembangan dua hari itu.

“Kami akan memantau, sediakan laporan dan bentangkan pada mesyuarat suruhanjaya dan mengkaji laporan itu sebelum memutuskan tindakan yang akan diambil,” katanya pada sidang media di ibu pejabat suruhanjaya itu hari ini.

Tambahnya, Suhakam akan menghantar 20 pegawainya untuk memantau perhimpunan di Dataran Merdeka dan beberapa pegawai di perhimpunan Sabah dan Sarawak.