shahbudindotcom.
Apabila Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi tiba-tiba mendedahkan adanya usaha untuk menggulingkan kerajaan melalui undi tidak percaya yang diketuai oleh seorang pemimpin UMNO, segera kedengaran banyak sosek-sosek menimpa dirinya kembali.
Ramai yang mengatakan, apa salahnya pertukaran kerajaan selain pilihanraya, jika bukan dengan kekerasan atau angkat senjata. Di Sabah, beberapa kali pernah berlaku dan di Perak ia baru saja berlaku pada 2009 lalu. Takkan Zahid tak tahu, kata mereka,
Sambil itu, rama juga yang mengingatkan Zahid agar tidak lupa bahawa pendedahannya mengenai pemimpin pembangkang yang didakwanya menjadi dalang tragedi Lahad Datu, sehingga sekarang masih tidak dijawabnya lagi.
Kata mereka, janganlah hendaklah pendedahan kali ini juga tiada jawapannya sampai akhirnya.
Begitu juga dakwaannya bahawa beliau mempunyai bukti Mohamad Sabu terlibat dengan ajaran Syiah, sampai sekarang juga gagal ditunjukkannya kebenaran itu kepada umum.
Memangnya Zahid, terutama sejak menjadi Menteri Dalam Negeri, suka menunjukkan beliau mempunyai maklumat itu dan maklumat ini, tapi akhirnya tidak lebih sekadar khabar yang dikutip daripada burung-burung berterbangan saja.
Ada pula berkata, Zahid tidak sepatutnya cuba memesongkan isu kerana beliau perlu lebih menumpukan perhatiannya untuk menjawab pertanyaan rakyat mengenai syarikat adiknya yang terlibat dalam bidaan menguruskan kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh melalui Kementerian Dalam Negeri yang diterajuinya.
Tambahan lagi, jika dilihat daripada pendedahan Zahid itu, beliau seperti mempunyai maklumat yang cukup lengkap mengenai usaha menggulingkan kerajaan itu. Tapi, sebagaimana selalu, beliau suka membiarkan orang berteka-teki, sama seperti orangramai mungkin berteka-teki sampai mati mengenai dalang Lahad Datu dan bukti syiahnya Mat Sabu.
Sehingga ini, dua pemimpin UMNO yang paling mungkin terlibat sebagaimana dakwaan Zahid itu, sudah pun menafikan penglibatan mereka. Muhyiddin Yassin mengatakan bodohlah jika beliau melakukannya kerana sudah terlibat dalam pembinaan kerajaan ini sejak 40 tahun yang lalu.
Tengku Razaleigh Hamzah pula berkata, beliau masih bersama kepimpinan Najib sambil menyindir, kerajaan hanya dapat digulingkan melalui kekuatan tentera dan tidak ada mana-mana individu yang mampu melakukannya dengan kekuatan biasa.
Begitulah bila Zahid sekali lagi cuba bikin gempar dalam negara. Bukannya kenyataannya itu mahu disokong atau dipuji, tetapi lebih ramai yang ragu-ragu dan skeptikal dengannya.
Sebabnya tidak lain ialah kerana Zahid dikenali sebagai pemimpin yang suka baling "bom asap" saja selama ini. Kadang-kadang berita dari burung berterbangan saja sudah dianggap seperti wahyu dari Tuhan.
Beliau sebenarnya membaling bom bukan untuk membunuh musuh tetapi agar semua tumpuan tertuju kepada kepulan asap itu saja. Apa gerakannya di sebalik asap berkepul-kepul itu hanya beliau saja mengetahuinya.
Sebab itu, jangan marah, kritik atau hentak Zahid dengan kenyataannya kali ini. Sekarang beliau sudah jadi orang nombor dua dalam kerajaan, tetapi kedudukannya masih belum selamat lagi untuk menjejak singgahsana Seri Perdana.
Dalam UMNO, kerusi nombor dua masih lagi dipegang oleh Muhyiddin. Zahid juga tidak boleh percaya sepenuhnya kepada Najib untuk memberi laluan "smart tag" kepadanya kerana masih ada Hishammuddin Hussein, sepupu Perdana Menteri sebagai pesaingnya.
Selain itu, di luar UMNO dan melalui tekanan Tun Mahathir, lebih banyak perancangan yang sukar dijangka untuk mengenepikan Najib daripada kedudukannya.
Maka, tidak mustahil lebih banyak lagi "bom asap" akan diletupkan Zahid selepas ini.
Tujuan Zahid membaling "bom asap" mengenai wujudnya usaha menggulingkan kerajaan ini jika dihalusi disebabkan beberapa faktor. Antaranya, beliau ingin menyampaikan mesej bahawa kerajaan pimpinan Najib sekarang ini teramat lemah dan boleh ditukar bila-bila masa saja melalui undi tidak percaya di Parlimen.
Dengan itu, Najib akan meletakkan lebih pergantungan kepadanya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri untuk memantau serta mengekang gerakan tersebut. Zahid secara tidak langsung memberitahu kedudukan kerajaan yang lemah itu adalah disebabkan isu-isu yang membeliti Najib sendiri.
Sementara kasih sayang Najib diharapkan lebih tertumpah kepadanya melalui pendedahan itu, Zahid dalam masa yang sama juga dapat mengukuhkan lagi kedudukannya melalui kelam kabutnya orangramai disebabkan "asap" itu.
Zahid bukan saja anak didik Anwar Ibrahim, tetapi cara gaya berpolitiknya juga tidak banyak berbeza dengan bekas Ketua Pembangkang itu. Bagaimana beliau mengumpul dan menjaga kekuatan sokongannya dalam UMNO adalah sama seperti Anwar dahulu. Jika Anwar suka pegang janggut orang bila bertemu kenalan lamanya, selain pegang janggut, Zahid pula kerap "cucuk perut" untuk menunjukkan keakrabannya.
Selain itu, tindakan Zahid mendedahkan wujudnya usaha menggulingkan kerajaan ini juga bertujuan menyindir Najib dan mengingatkannya tentang "karma" yang pasti menimpa berikutan Najiblah yang mengetuai gerakan menggulingkan kerajaan Perak pimpinan Nizar Jamaluddin pada 2009 dahulu.
Dengan kata lain, kalau ikut lenggok cakap orang Bagan Datoh, maksudnya ialah "dulu kau gulingkan orang, kali ini tunggulah kau kena guling pulak."
Zahid hakikatnya tahu menukar kerajaan melalui undi tidak percaya di Parlimen adalah "halal" dan dibenarkan oleh perlembagaan. Tetapi di Perak dahulu, usul tidak percaya itu tidak dibawa pun ke sidang DUN, hanya dipersembahkan kepada Istana Perak saja.
Sambil mengingatkan itu, Zahid juga sebenarnya ingin menakut-nakutkan Najib akan ketentuan Tuhan yang selalu "bayar cash" semua dosa dan kecurangan di dunia ini lagi.
Lebih-lebih lagi Zahid juga tahu Najib turut menghadiri Malam Doa Untuk Malaysia di Dataran Merdeka pada malam tadi.
Untung-untung Najib jadi takut dan terganggu fikirannya, tambahan lagi beban 1MDB dan isu RM2,600 juta jauh lebih berat lagi bahananya di sisi Tuhan, lalu mungkin sedia menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepadanya.
Jika ini tidak berjaya menggugat Najib, tunggulah "bom asap" seterusnya lagi daripada Zahid.
SUMBER: http://ift.tt/1Jc70kI
0 comments:
Post a Comment