Laluan yang digunakan empat lelaki bersenjata menculik seorang wanita dan seorang lelaki dari restoran makanan laut Ocean King di Pasir Putih terletak di pinggir bandar Sandakan semalam.
SHAH ALAM - Sabah kelmarin, dikejutkan sekali lagi dengan kes penculikan terbaharu walaupun selepas kerajaan meningkatkan kawalan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).
Pengurus Restoran Ocean King di Sandakan, Thien Nyuk Fun, 50, dan pelancong dari Sarawak, Bernard Then Ted Fen, 38, diculik pada Khamis oleh empat lelaki bersenjata berpakaian celoreng pada jam 7.30 malam serta dibawa lari menaiki bot laju.
Ia adalah insiden kedua dalam tempoh kurang setahun selepas kejadian penculikan terakhir pada 12 Julai 2014, apabila seorang anggota polis, Konstabel Zakia Aliep diculik manakala seorang lagi dibunuh selepas diserang hendap oleh lapan lelaki bersenjata di Pulau Mabul, Semporna.
Insiden terbaharu dipercayai dilakukan penyerang bersenjata dari kumpulan Abu Sayyaf di Filipina itu menimbulkan tanda tanya sama ada sempadan negeri itu benar-benar kebal daripada serangan militan.
Penganalisis pertahanan, Muhammad Fuad Noor berkata, kerajaan dilihat perlu menggunakan pendekatan terkini dalam menangani pengganas di kawasan Sabah.
Menurutnya, perintah berkurung yang dilaksanakan di perairan Sabah dilihat kurang berkesan bagi mengekang kemaraan pengganas ke negeri itu.
“Bukan saya kata perintah berkurung sudah tidak relevan tetapi pengganas ini mengetahui tindakan diambil oleh pihak keselamatan kita.
“Jika perintah berkurung bermula jam 6 petang hingga 6 pagi, pengganas ini sudah berjaya menghidu tindakan dari awal, dengan kata lain mereka selangkah di hadapan kita,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, Malaysia kini berdepan konflik peperangan hibrid yang meliputi kecanggihan komunikasi dan kehebatan peralatan perang.
“Saya ambil satu contoh, sewaktu ancaman komunis di Tanah Melayu, bagaimana mereka (anggota komunis) berkomunikasi dengan menyelit surat di celah pokok.
“Dari situ maklumat yang cuba disampaikan mengambil masa yang lama dan sekarang, ia berbeza,” katanya.
Beliau turut melahirkan kebimbangan mengenai kes penculikan melibatkan pelancong asing dan warga tempatan yang sentiasa berlaku di Sabah.
“Saya tertanya-tanya mengapa perkara ini masih berlaku sedangkan tahap keselamatan Esscom telah dipertingkatkan.
“Modus operandi, waktu operasi, cara serangan dan lokasi iaitu restoran mewah oleh pengganas adalah sama. Mengapa kita tidak boleh menjaga kawasan ini sedangkan kita mempunyai tentera yang ramai?,” soalnya.
Ditanya motif utama pengganas melakukan penculikan, Muhammad Fuad berpendapat ia bagi mendapatkan sumber kewangan bagi membeli senjata dan menampung peperangan mereka.
SUMBER: http://ift.tt/1IGYqJZ
0 comments:
Post a Comment