KUALA LUMPUR - Sabah dan Sarawak akan memperoleh lebih banyak pembangunan dan kemajuan untuk jangka masa panjang sama ada di kawasan bandar mahupun luar bandar di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).
 
Di bawah rangka rancangan lima tahun bermula 2016 hingga 2020 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat hari ini, pelbagai perancangan disentuh untuk kemajuan kedua-dua negeri berkenaan.
 
Antaranya melibatkan kemudahan asas, pertambahan dan penambahbaikan infrastruktur jalan raya dan lapangan terbang, pembangunan, kemajuan luar bandar, penambahan peluang pekerjaan, kesihatan, hospital dan sebagainya.
 
Perihal mengenai rancangan pembangunan dan kemajuan di Sabah dan Sarawak mula disentuh Najib dengan mengulangi pelan pelaksanaan tiga projek perintis bagi 1Malaysia Youth City, iaitu di Semenanjung, Sabah dan Sarawak dengan peruntukan sebanyak RM100 juta sepertimana dalam Bajet 2015.
 
Dalam RMK11 yang bertemakan 'Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat' itu juga, Najib berkata kerajaan akan memberi tumpuan kepada pemberian hak milik tanah adat (NCR) untuk Orang Asli dan bumiputera dari Sabah dan Sarawak bagi menggalakkan pembangunan tanah.
 
Menyentuh tentang pembangunan bandar dan luar bandar yang saling melengkapi, Najib berkata penyediaan prasarana asas luar bandar seperti jalan raya akan diteruskan, di Sabah dan Sarawak.
 
"Kerajaan akan membina 3,000 kilometer jalan berturap lagi di luar bandar bagi tempoh 2016 sehingga 2020," katanya.
 
RMK11 dengan peruntukan perbelanjaan pembangunan RM260 bilion itu juga akan  turut menyasarkan peningkatan pelaburan dan pekerjaan di lima koridor dalam negara iaitu Iskandar Malaysia, Koridor Pembangunan Sabah, Wilayah Ekonomi Pantai Timur, Koridor Utara dan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak.
 
Jelas Perdana Menteri, dalam tempoh 2011 sehingga 2014, lima koridor tersebut menarik pelaburan komited sebanyak RM307 bilion.
 
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata dengan jumlah pelaburan itu,  ia telah menjana lebih 427,000 peluang pekerjaan.
 
"Maka, untuk RMK11 ini, kerajaan menyasarkan sebanyak RM236 bilion pelaburan dan mewujudkan sebanyak 470,000 pekerjaan lagi di kelima-lima koridor wilayah tersebut," katanya.
 
Menyentuh mengenai penambahbaikan kemudahan dan taraf kesihatan pula, Najib menarik perhatian, Hospital Tawau dan Hospital Kota Marudu di Sabah, serta Hospital Miri akan dinaik taraf selain menyiapkan hospital di Sri Aman, kedua-duanya di Sarawak.
 
Perdana Menteri berkata RMK11 itu juga turut menyentuh projek infrastruktur utama termasuk pembinaan lapangan terbang Mukah dan Lawas di Sarawak yang akan melonjakkan kemajuan negeri tersebut. 
 
Kerajaan juga katanya turut mengenal pasti Kuching dan Kota Kinabalu serta Johor Baharu dan Kuala Lumpur sebagai bandar-bandar yang akan melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara, namun memerlukan rangka pelan induk yang komprehensif untuk dilaksanakan dengan jayanya.
 
"Jika dahulu, kalau berbicara tentang negara China, hanya bandar Beijing dan Shanghai diperkatakan. Namun kebelakangan ini, bandar-bandar lain di negara China seperti Shenzhen atau Guangzhou, menjadi sebutan di persada dunia. 
 
"Justeru, bagi meningkatkan daya saing negara, bandar Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu telah dikenal pasti untuk melonjak pertumbuhan ekonomi. Bandar-bandar ini akan merangka pelan induk persaingan masing-masing supaya selaras dengan aspirasi negara di bawah RMK11," kata beliau. - Bernama