Najib Makin Dijauhi, Benarkah Perancangan Sedang Berlaku Di Milan, Italy?

shahbudindotcom


Minggu ini Najib Razak mempunyai dua aturcara khusus berjumpa dengan pemimpin UMNO yang dipercayai untuk menjelaskan perkembangan politik semasa sambil menagih sokongan daripada mereka.

Pada hari Ahad beliau akan berada di Tawau Sabah di mana dilaporkan antara 20 hingga 30 ribu orang bakal menyambutnya secara besar-besaran di sana. Tetapi Naib Presiden UMNO, Shafie Apdal yang sebelum ini bersuara agak berbeza dengan mahukan isu 1MDB ditangani secara serius bagi mengembalikan keyakinan rakyat, tidak akan hadir dalam majlis tersebut.

Beliau sebaliknya sudah pun berlepas ke Mekah untuk menunaikan umrah bersama keluarganya pada Jumaat lalu. 

Kenapa Shafie tiba-tiba mahu ke Mekah di ketika Najib mahu turun ke Sabah? Tidak bolehkah pemergian menunaikan umrah dilewatkan barang sehari dua selepas perjumpaan dengan Perdana Menteri?

Pada hari Isnin ini pula, Najib akan bertemu sekali lagi dengan Ketua-Ketua UMNO Bahagian di Putrajaya, juga dipercayai untuk menjelaskan pelbagai isu semasa kepada mereka. Ini adalah perjumpaan kali kedua antara Najib dengan Ketua-Ketua UMNO Bahagian sejak berlakunya serangan dan kritikan daripada Tun Mahathir Mohamad terhadapnya.

Selain Shafie yang pasti tidak hadir dalam perjumpaan itu, Muhyiddin Yassin yang kini berada di Milan, Italy juga tentunya tidak hadir sama. Dalam pertemuan kali pertama Najib dengan Ketua-Ketua UMNO Bahagian di PWTC pada Mac lalu, Muhyiddin dan Shafie juga adalah antara yang tidak menghadirinya.

Semalam, nun jauh dari Milan, Timbalan Perdana Menteri berkata, isu 1MDB adalah sebab utama BN gagal dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh, baru-baru ini.

Katanya, rakyat ingin tahu mengenai perkara itu tetapi beliau sendiri tidak tahu untuk menjelaskannya ketika berkempen.

Bersama-sama Muhyiddin berada di Milan  sekarang ini ialah Mustapha Mohamad, Nazri Aziz serta beberapa Ahli Parlimen kerana menghadiri program rasmi anjuran Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan.

Adakah di Milan ketika ini sedang berlaku perbincangan mengenai perkembangan dan masa depan politik negara?

Dalam pada itu, selain Shafie, seorang lagi Naib Presiden UMNO iaitu Hishammuddin juga mulai berbeza dengan mengeluarkan kenyataan yang agak keras apabila meminta selain audit yang sedang dijalankan dipercepatkan, turut mahukan audit bebas antarabangsa dilakukan terhadap 1MDB bagi merungkai segala persoalan yang bermain di fikiran rakyat ketika ini.

Ini secara langsung menunjukkan ketika ini Muhyiddin, Shafie dan Hishammuddin hampir selari dalam pandangan dan seolah-olah tidak mahu menunggu lagi laporan audit oleh Jabatan Audit Negara sebagaimana yang diumumkan oleh Najib sebelum ini.

Mereka lebih mahukan Najib tampil sendiri tampil menjawab dan menjelaskannya kepada rakyat berbagai isu meragukan mengenai 1MDB itu.

Di waktu yang sama, selepas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mengeluarkan kenyataan yang mempersoalkan pelbagai perkara yang membimbangkan rakyat dalam urusniaga antara 1MDB dengan Tabung Haji, susulannya kemudian satu demi satu beberapa Pemuda Negeri pula menuntut Najib dan kerajaan agar segera tampil menjawab dan menjelaskan mengenai syarikat pelaburan yang bermasalah itu.

Jika sebelum ini, hanya Tun Mahathir Mohamad yang tidak henti-henti melontarkan persoalan dan mahukan jawapan daripada Najib mengensi 1MDB, kini Pemuda UMNO nyata lebih lantang menuntut perkara yang sama.

Mereka juga mengakui 1MDB adalah beban kepada parti dan kerajaan ketika ini sehingga kesan penolakan daripada generasi muda dapat dirasai ketika kempen di Permatang Pauh, baru-baru ini.

Sekaligus, memberi makna julangan Pemuda UMNO kepada Najib sebelum ini sudah tidak bermakna apa-apa lagi.

Dengan semakin ramai pemimpin kanan UMNO mulai  mempersoal dan menjauhi Najib, kehadirannya di Sabah dan perjumpaan pusingan kedua dengan Ketua-Ketua Bahagian kali ini mungkin tidak lagi seceria dan semeriah seperti selalu.

Najib  kini lebih dinanti bila mahu pergi berbanding perlunya dipertahankan lagi. 
 

Gambar Muhyiddin, Mustapha dan Nazri ketika di Milan, Italy...


SUMBER: http://ift.tt/1KUbj2Z

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © 2010 • Sabah News by Sapdal Krew • Design by SApdalPBlog