Najib vs Mahathir: Mahathir Pun Tak Mungkin Menyerah Kalah...

KELAB GREENBOC



 
Pntadbiran Najib tidak bersih- Tun M

Tun Dr Mahathir Mohamad mengaku beliau menyerang Datuk Seri Najib Tun Razak kerana pentadbirannya yang didakwa tidak bersih.

Bekas Perdana Menteri berkata, beliau tidak puas hati kerana di bawah pentadbiran Najib, duit negara hilang dan hutang luar negara pula meningkat.

“Agenda kerajaan kena bayar hutang. Kalau bayar hutang saya tidak ada masalah. Menjadi masalah sekarang ialah duit (negara) hilang.

“Kalau satu juta, dua juta takpelah, ni sampai 14 juta, 20 juta hilang. Tidak tahu ke mana perginya. Ini persoalannya. Saya tak puas hati pasal duit hilang…duit kerajaan,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Syarahan Perdana di German-Malaysia Institute pada Rabu.

Dr ‎Mahathir berkata demikian ketika diminta untuk mengulas mengenai kenyataan Najib yang menyatakan beliau tidak akan berganjak walaupun ‘diserang’.

Najib ketika berucap ketika melancarkan laporan Program Transformasi 2014 berkata, beliau tidak akan berganjak atau menyerah kalah walaupun diasak dan dikritik. -FMT


Najib Enggan Menyerah Kalah, Mahathir Pun Tak Mungkin Mengalah...

Hanya beberapa jam setelah Perdana Menteri, Najib Razak mengatakan beliau tidak akan menyerah kalah di sebalik pelbagai kritikan dan serangan terhadapnya, Tun Mahathir Mohamad juga memperlihatkan pendiriannya yang tidak mahu mengalah daripada terus menegur dan mengasak.

Jika malam tadi Najib mengungkapkan madah Bugisnya, Tun Mahathir hari ini bukan saja mengulangi kritikan mengenai gaya hidup mewah isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor bahkan menyifatkan kerajaan pimpinan Najib sebagai tidak bersih kerana menyebabkan banyak kehilangan wang serta meningkatnya hutang negara.

Beliau juga menyebut mengenai kos bunga untuk perkahwinan anak perempuan Najib dan Rosmah sehingga RM3 juta yang menjadi perbualan ramai dan diceritakan oleh ramai orang kepadanya.

Dalam konteks Najib, beliau dilihat sama sekali tidak mungkin berganjak dari kerusi Perdana Menteri yang sedang didudukinya, walaupun Tun Mahathir sudah beberapa kali mendesaknya agar berundur demi menyelamatkan nasib UMNO dan BN daripada ditimpa kekalahan.

Jika sebelum ini beliau mengatakan tidak rasa keseorangan, kali ini Najib memperlihatkan seolah-olah pantang baginya untuk menyerah kalah, sesuai dengan darah Bugis yang mengalir dalam tubuhnya.

Najib juga tidak mungkin menjawab segala kritikan Tun Mahathir terhadapnya, meskipun semakin ramai yang mahukannya berbuat demikian. Terbaru, bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi - selepas Tengku Razaleigh Hamzah, Shahrir Samad, Khairy Jamaluddin, Shafie Afdal, Nur Jazlan dan beberapa yang lain, turut berpendirian bahawa Najib harus menjawab sendiri semua persoalan itu.

Sama ada Najib tidak mahu atau tidak mampu menjawabnya, jawapannya ketika ini ialah beliau tidak mahu menyerah kalah atau lebih mudahnya ialah "saya masih mahu menjadi Perdana Menteri."

Tun Mahathir pula, sepertimana yang difahami oleh ramai orang, tidak pernah sama sekali mahu mengalah, menyarah kalah atau mengaku kalah atas sesuatu yang sudah dimulakannya.

Ini kerana beliau dikatakan tidak mungkin melakukan sesuatu jika tidak mempunya asas yang kukuh mengenainya.

Beliau juga ditafsir oleh ramai orang sebagai seorang yang semakin hebat pemikiran dan daya kreativitinya apabila menghadapi tekanan atau ketika sedang berbalah dengan seseorang.

Apabila Najib tidak mahu menyerah kalah, ramai yang merasakan Tun Mahathir, bukan saja akan lebih agresif dan berstamina, bahkan kemungkinan tampil dengan lebih maklumat dan idea luar biasanya lagi selepas ini.

Meminta Tun Mahathir berhenti mengkritik dan menegur juga seperti tidak munasabah. Ini kerana bukan saja beliau sudah menegur secara tertutup dan menulis surat tetapi tidak dipedulikan oleh Najib, lebih dari itu semua persoalan yang dibangkitkannya juga mendapat sokongan yang nyata daripada rakyat.

Dengan Najib tidak mahu menyerah kalah dan Tun Mahathir tidak mungkin mengalah, pertanyaan ramai orang ketika ini ialah apakah kesudahannya nanti?

Apakah pertembungan mereka ini akan berlarutan sehingga PRU 14 nanti dan akhirnya menatijahkan "seorang menjadi abu manakala seorang lagi menjadi arang?"

Atau adakah Najib seharusnya dipaksa berundur demi masa depan UMNO dan BN kerana yang dikatakan menjadi beban sekarang ialah beliau dan bukannya Tun Mahathir?

Dengan pertembungan ini sudah memasuki episod getir sekarang, apakah ia menandakan sudah sampai masanya pimpinan dan ahli UMNO akar umbi harus bangun dan menyatakan pendirian mereka dengan segera, bukan lagi penentuan nasib parti sekadar berlegar di kalangan 191 Ketua Bahagian saja?
-shahbudindotcom




SUMBER: http://ift.tt/1H0ficX

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © 2010 • Sabah News by Sapdal Krew • Design by SApdalPBlog