• Hasan MalekHasan Malek
SINAR HARIAN
SINAR HARIAN
KOTA KINABALU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sedang membuat kajian terhadap kesan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), sistem percukaian baharu negara yang mula dikuatkuasakan pada 1 April lepas.

Menterinya Datuk Seri Hasan Malek berkata kajian itu dibuat antara lain bertujuan menambah baik sistem pelaksanaan sedia ada supaya lebih komprehensif serta bersesuaian dengan suara dan kehendak rakyat.

"Terdapat satu atau dua perkara kita akan kaji semula untuk diubahsuai (mengikut) kehendak rakyat," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan harga bersempena pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Pesta Kaamatan di Pasar Besar dan beberapa kedai di sini, hari ini.

Tinjauan itu turut disertai Ketua Pengarah Penguatkuasaan KPDNKK Mohd Roslan Mahayuddin dan Pengarah KPDNKK Sabah Severinus Tukah.

Hasan berkata jumlah aduan diterima pusat gerakan antipencatutan yang beroperasi 24 jam semakin berkurangan iaitu daripada lebih 7,000 aduan pengguna sehari pada awal pelaksanaan GST kepada hanya 250 aduan sehari sahaja sekarang.

"Saya mempunyai dua persepsi iaitu sama ada rakyat sudah mula memahami pelaksanaan GST dan sebab mengapa kerajaan melaksanakannya atau rakyat (pengguna) malas untuk membuat aduan," katanya.

Namun, Hasan turut menggesa rakyat di seluruh negara menggunakan hak mereka sebagai pengguna dengan membuat aduan kepada KPDNKK agar peniaga yang mengambil kesempatan atas pelaksanaan GST dapat diambil tindakan segera.

"Ini bagi memastikan GST dapat dilaksanakan dengan baik," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Hasan berkata KPDNKK telah membuat pemeriksaan ke atas 3,600 premis perniagaan di seluruh Sabah dan Labuan bersempena pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Pesta Kaamatan, dan daripada jumlah itu cuma satu premis sahaja dikenakan kompuan kerana tidak meletakkan tanda harga.

Bagaimanapun, tinjauan di Pasar Besar dan beberapa kedai sekitar Kota Kinabalu mendapati empat peniaga tidak mematuhi peraturan, dan seorang daripadanya dikenakan tindakan mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972, manakala tiga lagi dikompaun menurut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011. - Bernama