Kuat dalam Umno tapi kalah pilihan raya

MALAYSIAKINI

 


Suasana semasa ucapan Datuk Seri Najib Razak di Sabah pada hujung minggu lalu akan mengingatkan kita pada kempen pilihan raya umum ke-13.

Melalui rakaman yang disiarkan di TV, kita boleh lihat kain rentang dengan slogan “I Love PM” bergentayangan di serata sudut dan dipamer oleh peserta yang hadir di Tawau.

Najib menyebut, seramai 40,000 orang muncul ke acara tersebut. Dalam ucapannya, Najib berkata beliau tidak akan berundur hanya atas desakan seorang individu – bekas PM Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau menganggap gesaan seperti itu sebagai satu ujian semata-mata. Ujian yang dihadapi Mahathir malah lebih besar, katanya.

Najib membangkitkan semula bahawa Mahathir hanya menang tipis untuk mengekalkan kedudukan sebagai presiden parti dalam pemilihan Umno 1987.

Menurut Najib, beliau sendiri menyumbang kepada kemenangan itu, sehingga membolehkan Mahathir menang dengan majoriti 43 undi.

Secara tidak langsung, Najib juga ingin menyatakan bahawa kedudukannya kini tetap kukuh dalam Umno, berbanding semasa Mahathir bergelut untuk menyelamatkan jawatan di akhir 1980-an.

Umno berpecah dua pada waktu itu – Team A dan Team B – yang hampir menumbangkan Mahathir, kata Najib.

“Hampir 50 peratus ahli Umno suruh dia letak jawatan. Tapi apa dia jawab, 'walaupun saya menang satu undi, saya akan tetap terus menjadi perdana menteri'. Oh hebat dia jawab.
  
"1987, saya antara yang menyokong dia. Dia (Dr Mahathir) kekal menjadi perdana menteri sebab apa? Sebab kita bersama dalam susah,” kata Najib.

Jika tidak, Mahathir tidak akan berjaya kekal menjadi perdana menteri selama 22 tahun, kata Najib, yang dilaporkan menerima sorakan gamat.

Mahathir pada waktu itu diasak putera raja Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah untuk merebut jawatan utama dalam Umno itu – yang secara lazimnya turut bermakna jawatan perdana menteri.

Namun, keputusan pemilihan Umno 1987 tidak menjejaskan prestasi BN. Calon parti itu menang dalam pilihan raya kecil Bukit Tuku, Kelantan dan Tanjung Puteri Johor yang diadakan selepas pemilihan parti.

Dalam pilihan raya umum 1990, BN tetap menang walau Umno pada masa itu "berkeping dua".

Jika dibandingkan, keputusan pilihan raya kecil Permatang Pauh dan Rompin pada awal bulan ini menunjukkan trend sebaliknya.

Di Rompin, majoriti yang diraih Umno semakin merosot. Pemerhati mengaitkannya dengan harga saham Felda dan juga isu kenaikan kos sara hidup.

Begitu juga di Permatang Pauh. Isu hudud yang menjadi masalah dalam Pakatan Rakyat tidak pula melunturkan sokongan pada calon mereka, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Penganalisis turut melihat isu kenaikan kos sara hidup serta cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebagai faktor kemenangan Pakatan.

Disebabkan jumlah keluar mengundi lebih rendah, undi popular yang diraih PKR hanya turun sebanyak 1.47 peratus.

Ini lebih baik berbanding undi popular yang diperolehi BN di Rompin, dua hari sebelum itu, yang merosot lima peratus.

Tidak lama sebelum pilihan raya kecil itu berlangsung, Mahathir berkata beliau sebelum ini melihat orang ramai mengibar bendera “I Love PM”.

Tetapi, semasa pilihan raya umum ke-13, BN kalah juga, kata Mahathir dengan gaya sinisnya.

Apa gunanya jika Najib kuat dalam Umno tapi kalah pilihan raya?

Inilah sebabnya Mahathir berasa serba salah. Jika beliau membiarkan Najib terus memimpin BN, parti itu akan kalah.

Kalaupun beliau tidak sokong Najib, pembangkang tetap akan ambil kesempatan, katanya.

Najib pula mungkin merasakan bahawa inilah masa paling tepat untuk mengutip dividen dari pelaburannya pada 1987 ke atas Mahathir.

Haruskah Mahathir membalas budi sekarang?




SUMBER: http://ift.tt/1QEkfwo

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © 2010 • Sabah News by Sapdal Krew • Design by SApdalPBlog