shahbudindotcom
Apabila Tun Mahathir Mohamad menyebut ada pemimpin lain yang lebih layak menjadi Perdana Menteri menggantikan Najib Razak, tujuannya tentulah agar Muhyiddin Yassin segera menyatakan pendiriannya.
Ia seolah-olah "ingatan awal" kepada Timbalan Perdana Menteri itu agar tidak terlalu lama dalam membuat keputusan iaitu sama ada mahu bersama dengan gerakan perubahan yang sedang dilakukannya atau kekal bersama Najib.
Ia juga memberi gambaran, jika Muhyiddin terus berlengah-lengah dan bermain dengan masa, tidak mustahil Tun Mahathir akan menonjolkan pula tokoh lain yang tidak disebut namanya itu.
Bagaimanapun, melalui pemerhatian dari pelbagai kelompok dalam UMNO, tokoh lain yang disebut oleh Tun Mahathir sebagai lebih layak menggantikan Najib itu tidak lain ialah Tengku Razaleigh Hamzah.
Terutama untuk berhadapan dengan kegetiran untuk mengekalkan kuasa UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang, tidak dinafikan Ku Li paling ke hadapan untuk tugas tersebut kerana beliau diyakini boleh diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat negara ini.
Satu-satunya yang mengekang Ku Li ialah beliau tidak berada dalam hireaki kepimpinan tertinggi UMNO. Jawatannya hanyalah Ketua UMNO Bahagian dan Ahli Parlimen Gua Musang, Kelantan.
Bercakap di Pulau Pinang semalam, bekas Perdana Menteri itu berkata, selain Muhyiddin, ada juga pemimpin lain yang lebih layak menggantikan Najib.
Bagaimanapun katanya, mengikut tradisi UMNO, lebih baik jawatan itu diambil alih oleh pemimpin nombor dua negara.
Sekali lagi, dalam usaha menyelamatkan UMNO dan BN serta memastikan ia kekal berkuasa, Tun Mahathir mahu tradisi UMNO terus dipatuhi. Lantaran itu, nama Muhyiddin lebih diutamakan agar tidak berlaku sebarang konflik dalam UMNO. Melakukan perubahan dengan mengenepikan hireaki bukan saja mengundang konflik dan menimbulkan masalah tetapi juga tidak pernah berlaku sebelum ini.
Dalam hal ini, oleh kerana Tun Mahathir sudah beberapa kali menyebut nama Muhyiddin, seharusnya Timbalan Perdana Menteri itu segera memahaminya. Beberapa isu negara seperti 1MDB, Altantuya, GST, hutang negara dan sebagainya, tidak lain hanya memerlukan perubahan kepimpinan untuk menanganinya.
Mungkin ketika ini Muhyiddin ingin menumpukan tugasnya kepada pilihanraya kecil Rompin dan Permatang Pauh terlebih dahulu, tetapi selepas itu beliau sebenarnya tidak ada alasan lagi untuk menangguhkan pendiriannya.
Memandangkan pilihanraya umum akan datang hanya kira-kira tiga tahun saja lagi, perubahan kepimpinan UMNO dan kerajaan tidak seharusnya dilewatkan lebih lama lagi kerana ia mungkin menyebabkan kesuntukan masa untuk berhadapan dengan rakyat.
Sebaik pilihanraya Permatang Pauh berakhir pada 7 Mei ini, Muhyiddin harus segera menyatakan pendiriannya - kekal bersama Najib atau berpihak kepada Tun Mahathir.
Di ketika yang sama, oleh kerana isu getir sekarang ialah untuk memastikan pengekalan kuasa BN sebagai kerajaan, Tun Mahathir juga seharusnya memikirkan jalan untuk menggandingkan Muhyiddin dengan Ku Li untuk membentuk suatu pasukan yang lebih mantap demi kepentingan negara.
Mungkin gandingannya ialah Muhyiddin - Ku Li atau Ku Li - Muhyiddin. Mungkin juga boleh diwujudkan sistem penggiliran antara keduanya sebagaimana yang pernah diwujudkan di Sabah suatu ketika dahulu.
Kedua-dua mereka, Muhyiddin dan Ku Li, tentunya harus lebih bertolak ansur dari segi jawatan dan kedudukan kerana yang utama ialah kemenangan dalam pilihanraya dan menyelamatkan negara.
Tun Mahathir barangkali boleh memikirkan bentuk gandingan yang sesuai antara kedua-dua pemimpin tersebut kerana yang penting ketika ini, selain menyelamatkan negara dan memastikan kemenangan dalam pilihanraya, Najib harus ditekan dan dipaksa berundur terlebih dahulu.
Inisiatif ini, jika dapat diusahakan oleh Tun Mahathir, bukan saja menyebabkan sokongan diterimanya lebih meluas, bahkan boleh membuatkan Najib menarik balik madah Bugisnya yang enggan menyerah kalah sebelum ini.
SUMBER: http://ift.tt/1I32Qwb
0 comments:
Post a Comment