Abdul Gani Patail


Menjelaskan perkara itu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, pengekalan akta tersebut dan pengukuhan dua perkara tidak bermaksud melin­dungi sesuatu agama atau komuniti, sebaliknya keseluruhan rakyat Malaysia.

“Bagi pandangan saya, apa yang dimaksudkan Perdana Menteri dalam perkara itu (Akta Hasutan) adalah untuk melindungi semua hak rakyat negara ini di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Hak dan keistimewaan Melayu dan bumiputera dijaga serta termaktub dalam kontrak sosial, manakala hak untuk orang bukan Melayu juga dilindungi tanpa persoalan,” katanya ketika mengulas kenyataan Najib tentang pengekalan Akta Hasutan 1948 dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.

Pada 27 November lalu, Najib yang juga Presiden UMNO me­negaskan Akta Ha­sutan 1948 tidak akan dihapuskan sebaliknya diperkuat dan diperkukuhkan se­ku­rang-ku­rangnya da­lam dua perkara.

Terdahulu, Abdul Gani yang juga Pengerusi Yayasan Bantuan Guam­an Kebangsaan (YBGK) menghadiri majlis minum petang ahli YBGK dengan Persatuan Peguam Sabah (SLA) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Gani meminta seluruh rakyat terutama di negeri ini supaya melihat laporan suruhan siasatan pendatang asing di Sabah dari perspektif dan pemikiran terbuka.

Malah, kata beliau, isu pendatang asing di negeri ini boleh diatasi bersama sekiranya rakyat, kerajaan dan pihak berkuasa melihat dari konteks lebih luas tentang perkara itu, sekali gus bersama-sama membanterasnya.