Integriti penting untuk perangi rasuah: Salleh


KOTA KINABALU: Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Panglima Dr Salleh Tun Said Keruak menegaskan pentingnya prinsip integriti diberi perhatian dalam usaha memerangi rasuah di pelbagai peringkat.



Beliau berkata integriti penting bukan saja dalam diri seseorang individu, tetapi juga dalam sesebuah organisasi secara keseluruhan.



"Integriti adalah sifat jati diri yang merangkumi juga keikhlasan, keterbukaan, ketelusan, amanah, benar, berpegang kepada prinsip, tidak mudah dipengaruhi, boleh dipercayai, boleh pegang cakapnya dan lain-lain lagi.



"Integriti merujuk kepada himpunan kualiti unggul yang wujud dalam kalangan individu dan kualiti ini berteraskan kepada prinsip berpegang teguh kepada kejujuran dan amalan bermoral tinggi," katanya.



Beliau bercakap pada Persidangan Anti-Rasuah peringkat negeri Sabah anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertema `Sokongan rakyat nadi perangi rasuah' di sini hari ini.



Salleh yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah berkata soal integriti bukan hanya terpakai untuk pemimpin akar-umbi atau peringkat atasan pentadbiran, malah penduduk tempatan juga seharusnya mempraktikkan integriti dalam hidup mereka.



"Contohnya, jika mereka melihat orang yang tidak dikenali atau pendatang asing yang menyusup masuk ke kampung mereka, penduduk terbabit seharusnya segera melaporkan kepada pihak berkuasa, khususnya pasukan keselamatan supaya tindakan susulan dapat dilaksanakan.



"Jika elemen integriti ini diamalkan, sudah tentu kehadiran pendatang asing ke negeri kita mudah untuk dikawal," katanya.



Selain itu, katanya, integriti di kalangan majikan atau organisasi juga penting untuk memerangi gejala rasuah di negeri ini.



Katanya, kerajaan sudah berkali-kali mengingatkan majikan supaya tidak menggaji pendatang tanpa izin, namun masih ada juga majikan yang "tidak mengikut peraturan" mengambil pekerja asing tanpa dokumen sah semata-mata mahu mengaut keuntungan.



"Adakalanya keingkaran mereka boleh memudaratkan keselamatan rakyat di negeri ini. Saya percaya senario ini adalah antara cabaran utama kerajaan terutama SPRM dalam memastikan amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa sentiasa terkawal. Saya melihat peranan SPRM amat besar dan mencabar," katanya.



Salleh yang juga bekas Ketua Menteri menegaskan semua pihak jangan menunding jari kepada kerajaan semata-mata, sebaliknya bersama-sama memberikan kerjasama.



Katanya, masyarakat perlu memandang rasuah sebagai satu jenayah yang keji untuk membendung gejala rasuah.





SUMBER: http://ift.tt/1BxOGzB

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © 2010 • Sabah News by Sapdal Krew • Design by SApdalPBlog