KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengucapkan tahniah kepada skuad Harimau Malaya kerana telah berjaya menempah tiket ke perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2014.
Ini adalah kali kedua Malaysia berjaya ke perlawanan akhir semenjak bermulanya kempen Piala AFF Suzuki pada tahun 2006.
"Ternyata semangat juang skuad Harimau Malaya tidak pernah luntur meskipun tewas pada perlawanan pertama di Stadium Shah Alam," kata ketuanya, Khairil Nizam Khirudin dalam satu kenyataan.
Katanya, kemasukan Indra Putra Mahyudin, Piya dan Shukor Adan selaku kapten dalam kesebelasan utama benar-benar membuahkan hasil yang lumayan, akhirnya kemenangan yang dramatik diperolehi setelah menumpaskan pasukan Vietnam 4-2 dengan agregat 5-4 di Stadium Nasional My Dinh.
Pentas akhir pertama Malaysia bertemu Thailand akan berlangsung pada 17 Disember ini di Bangkok.
"DPPWP berharap agar skuad Harimau Malaya menggandakan usaha dan meneruskan rentak kejuaraan ini," ujarnya lagi.
Menurutnya, meskipun Malaysia hanya pernah bertemu Thailand di peringkat akhir Piala AFF Suzuki pada tahun 2006, namun melihatkan kepada semangat juang yang ditunjukkan semasa menentang Vietnam, DPPWP yakin dan optimis kejuaraan tahun 2010 bakal berulang kembali.
Namun, katanya kemenangan tidak bererti jika imej negara dicalarkan oleh sikap penonton yang tidak bertamadun.
Justeru, ujarnya DPPWP menyeru kepada semua penonton agar sentiasa menjaga akhlak ketika menyaksikan perlawanan.
"Adat perlawanan, ada kalah dan ada menang. Terimalah dengan semangat kesukanan setiap keputusan. Muhasabah setiap kekalahan, baiki setiap kekurangan, dan bersyukur dalam setiap kemenangan," ujarnya.
Akhir sekali, katanya DPPWP mendoakan kemenangan buat skuad Harimau Malaya. Thailand terkenal sebagai pasukan yang hebat di rantau Asia Tenggara.
Namun, kata beliau jika Malaysia mampu susuli dengan taktik dan semangat yang jitu, DPPWP yakin Harimau mampu merobekkan Gajah. Ayuh Harimau Malaya, maralah! - HARAKAHDAILY
SUMBER: http://ift.tt/1IRnCgN
0 comments:
Post a Comment