Bagaimana Khairuddin mudaratkan keselamatan awam?

Ambiga Sreenevasan

 


Pada 24 September lalu bekas pemimpin Umno Datuk Khairuddin Abu Hassan telah ditangkap dibawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Khairuddin ditangkap dipercayai disebabkan oleh laporan-laporan yang dibuatnya dengan penyiasat-penyiasat di luar negara terhadap 1MDB.

Beliau ditangkap dan direman dahulu pada 18 September bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan kerana didakwa terlibat dalam aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen.

Selepas dilepaskan beliau ditangkap semula bawah Sosma.

Khairuddin kini menghadapi tuduhan bawah Seksyen 124K dan 124L Kanun Keseksaan, dipercayai untuk kesalahan-kesalahan “sabotaj” atau “percubaan untuk sabotaj negara”.

HAKAM mengambil pendirian yang sama dengan Majlis Peguam dan banyak lagi NGO lain, juga semua warga Malaysia yang berfikiran munasabah dalam mengkritik dan mengecam tindakan-tindakan ini sebagai menindas dan bertentangan dengan kedaulatan undang-undang.

Sosma merupakan satu akta yang bersifat autoritarian dan menindas dan ia kini digunakan pula untuk melindungi perdana menteri (yang sepatutnya bertanggungjawab kepada rakyat) daripada penelitian.

Dalam perbandingan yang begitu ketara, individu yang mengugut untuk mengadakan rusuhan di Jalan Petaling pula dipandang ringan dan tidak berdepan dengan tindakan polis.

Ini menyerlahkan lagi penyalahgunaan kuasa dan tindakan-tindakan penguatkuasaan ini yang mempunyai agenda politik.

SOSMA bertujuan menangani kesalahan-kesalahan sekuriti yang “memudaratkan keselamatan awam di dalam, atau sekuriti persekutuan atau mana-mana bahagian persekutuan”.

Persoalannya, bagaimana tindakan Khairuddin, dengan memfailkan laporan-laporan di luar negara berkenaan 1MDB, memudaratkan keselamatan awam negara?

Laporan-laporan tersebut mungkin menyebabkan sesetengah pihak berasa tidak selesa tetapi itu tidak boleh menjadi asas bagi satu penangkapan.

Tambahan pula, Khairuddin akan dikecualikan bawah Seksyen 4(3) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang menyatakan “Tiada seorang pun boleh ditangkap atau ditahan di bawah seksyen ini semata-mata atas kepercayaan politiknya atau aktiviti politiknya”.

Kepercayaan politik atau aktiviti politik pula didefinisikan di bawah Seksyen 4(12) perenggan (b) dan (c) masing-masing sebagai “pernyataan pendapat yang ditujukan terhadap mana-mana Kerajaan di dalam Persekutuan” dan “pengambilan tindakan yang ditujukan terhadap mana-mana Kerajaan di dalam Persekutuan”.

Pada pandangan kami, penangkapan ini adalah tidak sah di sisi undang-undang khususnya Sosma.

Agensi-agensi penguatkuasaan harus menetapkan pendirian mereka sama ada peranan mereka untuk melindungi rakyat atau melindungi pemimpin-pemimpin daripada dipertanggungjawabkan untuk tindakan-tindakan mereka sama ada betul atau salah.

Pilihan tersebut sepatutnya jelas tanpa sebarang keraguan.

Khairuddin patut dibebaskan dengan segera dan sikap pihak berkuasa yang giat mencabul hak asasi manusia dengan sewenang-wenangnya mestilah dihentikan.

Biar sedikit kewarasan, keadilan dan pendekatan yang menghormati kedaulatan undang-undang kembali diamalkan dengan segera dalam pentadbiran negara ini.

Insiden ini salah satu daripada tindakan bersiri yang bersifat menindas dan dilakukan secara sewenang-wenangnya oleh pihak berkuasa untuk melindungi perdana menteri daripada memberi jawapan kepada rakyat.


DATUK AMBIGA SREENEVASAN presiden Persatuan Hak Asasi Manusia (Hakam).



SUMBER: http://ift.tt/1VgNJRv

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © 2010 • Sabah News by Sapdal Krew • Design by SApdalPBlog