KETIKA PESERTA TURUN SAMBIL MENELAN ASAP JEREBU, SIAPA PEMIMPIN UMNO BAKAL IKUT SERTA?

shahbudindotcom





Himpunan aman rakyat bersatu atau baju merah pada 16 September ini sudah pun mendapat kelulusan daripada pihak polis berikutan Persatuan Silat Kebangsaan atau Pesaka telah diberi kebenaran oleh DBKL untuk menggunakan Padang Merbok bagi tujuan tersebut.

Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar berkata, walaupun beliau tidak bersetuju dengan demontrasi tetapi perhimpunan 16 September ini tetap akan dibenarkan kerana sudah memenuhi kriteria di bawah Akta Perhimpunan Aman.

Beliau juga memberi jaminan akan mengerahkan anggota polis yang secukupnya untuk mengawal bagi memastikan keselamatan semua orang yang menghadiri perhimpunan itu.

Bagaimanapun kelulusan ini difahamkan tidak termasuk perarakan berbaju merah yang dikendalikan oleh Gabungan NGO-NGO Melayu yang bermula di beberapa tempat di sekitar Bukit Bintang dan Jalan Petaling sebelum turut berkumpul di Padang Merbok sebagai destinasi akhirnya.

Perarakan baju merah ini menimbulkan kebimbangan banyak pihak, termasuk semua parti komponen BN kerana ia dibimbangi boleh mencetuskan huru-hara dan menjadikan hubungan kaum yang tidak selesa dalam negara.

Di Kota Bharu, Kelantan semalam telah berlaku provokasi menjelang himpunan baju merah di mana patung Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng dibakar di dalam satu majlis yang dihadiri oleh Fatmi Che Salleh, Ketua UMNO bahagian tersebut yang juga bekas Setiausaha Politik Najib.

Dalam masa yang sama, Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor turut mengajak seluruh rakyat menghadiri perhimpunan pada 16 September ini bagi menzahirkan sokongan kepada kerajaan dan para pemimpinnya.

Ini kerana, katanya, perhimpunan itu ialah sebagai satu cara untuk rakyat meluahkan rasa cinta dan sayang kepada negara.

Namun demikian, beliau yang lebih dikenali dengan Ku Nan menyatakan tidak dapat menghadiri perhimpunan itu kerana bertembung dengan acara lain yang sudah diatur lebih awal.

Najib Razak dikhabarkan turut tidak  menghadirinya kerana sudah berlepas untuk satu program di London pada tarikh 16 September itu dan kemudian terus ke New York untuk menghadiri Persidangan PBB.

Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi dan lain-lain pemimpin UMNO dan kerajaan juga masih belum kedengaran janji mereka untuk menghadiri perhimpunan itu yang tujuan besarnya ialah untuk menyatakan sokongan kepada Najib dan kerajaan yang sedang dipimpinnya.

Habis, siapa pemimpin UMNO dan kerajaan yang hadir nanti? Adakah Zahid? Hishammuddin? Khairy Jamaluddin? Yang lain-lain?

Pemimpin yang sudah terbuang, Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal, adakah teringin untuk datang sama?

Berapa ramai menteri yang akan menunjukkan muka agaknya?

Apakah hanya yang menyokong saja perlu hadir sedangkan pihak yang disokong langsung tidak perlu memunculkan diri mereka?

Kenapa sehingga ini tiada kerahan kepada pemimpin untuk menghadirinya?

Berapa ramai Ketua UMNO bahagian yang sanggup datang daripada 191 jumlah semuanya di seluruh negara?

Apakah hanya peserta daripada golongan marhaen dan gurkha saja yang dikerah hadir sambil menelan asap jerebu, manakala semua pemimpin tertinggi UMNO dan kerajaan hanya berehat dan bersantai di acara lain dalam dewan tertutup dan berhawa dingin?

Atau sebenarnya ramai pemimpin UMNO yang takut menghadiri perhimpunan baju merah ini kerana bimbang akan dihukum oleh pengundi bukan Melayu dalam pilihanraya umum nanti?

Tidak seperti Bersih 4 di mana pemimpin utama semua partinya menghadirkan diri, mungkinkah dalam perhimpunan baju merah ini, hanya penyokong saja yang bersungguh hati?

Bukankah lebih gah jika semua menteri dapat menghadirinya, walaupun jumlah pesertanya tidak dapat mencecah 500 ribu sebagaimana Bersih 4 yang lalu? 


SUMBER: http://ift.tt/1MmxgvO

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © 2010 • Sabah News by Sapdal Krew • Design by SApdalPBlog