Bukan itu bukan ini, Umno huyung-hayang berkompromi



Oleh Alyaa Alhadjri

Berikutan hasil mesyuarat majlis tertinggi Umno pada 9 September, pemerhati percaya yang Perdana Menteri Najib Razak dan timbalan presiden Umno Muhyiddin Yassin sedang “bermain selamat” daripada melakukan sebarang tindakan yang boleh menyebabkan parti itu terus berpecah belah.

Kelangsungan politik individu dan mengekalkan kedudukan kekuasaan dan pengayaan diri parti yang mendominasi gabungan pemerintah BN nampaknya terus menjadi keutamaan.

Baik Najib mahupun Muhyiddin tidak mempunyai keberanian untuk menggubah keadaan, sebaliknya memilih untuk mengekalkan status quo.

Penganalisis politik Ibrahim Suffian memberitahu SemutHarian yang tidak wujud keperluan untuk Najib memecat Muhyiddin, naib presiden Umno Shafie Apdal dan lima yang lain daripada parti, seperti yang disebarkan khabar angin sebelum ini. 

“Tidak banyak yang berlaku sewaktu mesyuarat. Apa yang berlaku dalam Umno kini telah diredakan dengan kenyataan Najib tentang kepentingan pemimpin parti untuk bersatu bagi menjamin masa depannya,” kata Ibrahim. 

Pada 9 Sept, Malaysiakini memetik Najib sebagai berkata yang kedua-dua Muhyiddin dan Shafie telah menyatakan komitmen penuh mereka kepada Umno dan bekerja bersama-sama untuk kepentingan parti. 

“Kami juga membincangkan perkembangan isu semasa yang perlu diselesaikan, kepentingan perpaduan dalam kalangan kepimpinan tertinggi Umno, termasuk dalam majlis tertinggi yang bertindak sebagai asas menjamin Umno terus menjadi parti yang berkuasa dan kemampuan kami menyelesaikan apa sahaja isu,” kata Najib dalam sidang media di ibu pejabat parti di PWTC selepas pertemuan itu. 

Bagaimanapun, Ibrahim, menyifatkan yang tumpuan utama Najib adalah untuk memperkukuhkan kedudukannya sendiri bagi menangani desakan untuk dia meletakan jawatan selepas skandal “derma” RM2.6 juta dan kekecohan kewangan 1MDB. 

“Dia (Najib) tidak bertindak keterlaluan dan tidak melakukan perkara yang tidak perlu untuk melindungi kedudukannya,” kata Ibrahim, merujuk kepada tindakan Najib sebelum ini yang memecat Muhyiddin dan Shafie dari Kabinetnya. 

“Tidak wujud keperluan untuknya memecat sesiapa (dari Umno),” tekannya. 

Muhyiddin dan Shafie adalah antara pemimpin Umno yang secara terbuka mendesak Najib bertanggungjawab ke atas keputusannya berkaitan dengan 1MDB, menekankan yang tugas mereka berdua untuk menyelamatkan parti daripada terus jatuh tersungkur. 

Selaku menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB, nampaknya keenganan Najib untuk bertindak menangangi tuduhan kepadanya juga menarik kecaman antarabangsa daripada badan antarabangsa seperti Transparency- International dan Amnesty International. 

Ketua perhubungan Umno Ahmad Maslan baru-baru ini berkata yang “Umno hanya boleh dimusnahkan daripada dalam” dan Najib dipercayai telah terlepas peluang untuk menyingkirkan pengkritik utamanya, walaupun wujud kebimbangan yang perpecahan dalaman boleh merebak dalam Umno. 

Begitu juga, pemerhati mengatakan yang Muhyiddin boleh menggunakan kedudukannya untuk menekan Najib mengambil tindakan segera yang selaras dengan desakan akar umbi yang di buat di peringkat bahagian Umno. 

Apabila ditemui oleh wartawan selepas pertemuan itu, Muhyiddin dipetik sebagai berkata yang dia adalah seorang ahli umno totok.

“Semua berjalan baik...saya Umno totok,” kata Muhyiddin yang sebelum itu disambut oleh sorakan daripada lebih kurang 100 orang penyokongnya. 

Ibrahim percaya yang Muhyiddin masih mempunyai pengaruh dalam kekuatan dalam Umno walaupun kuasanya sudah disekat. 

“Selagi mana dia kekal sebagai ahli, dia masih berpeluang (untuk mengetuai Umno),” tambahnya. 

Ibrahim juga menyifatkan yang deklarasi Muhyiddin tentang kesetiaanya adalah petunjuk dia tidak akan “bergabung” dengan Pembangkang dalam cubaan menjatuhkan Najib selaku perdana menteri. 

Walaupun slogan parti adalah ‘untuk agama, bangsa dan negara’, nampaknya kelangsungan politik individu, untuk terus kekal berkuasa dan mengekalkan status quo, adalah keutamaan Umno kini. 

Dan mempertimbangkan amalan biasa Najib untuk memberikan ‘ganjaran’ kepada mereka yang menyokongnya atau ‘membeli’ sokongan, kita hanya akan tertanya-tanya apakah kelebihan yang telah diberikan kepada Muhyiddin dan Shafie sehingga mereka boleh tersenyum dan bersalam dengan PM selepas pertemuan itu.

Lagipun, pemimpin Umno lain yang dalam diam-diam berkorban, telah membuktikan mereka masih boleh mendaki kuasa dalam parti selepas ‘menghabiskan masa hukuman mereka’ dan ‘berbuat baik’.
Apa yang berlaku sehingga menyebabkan Muhyiddin dan Shafie kembali tunduk masih belum kita tahu.

Komen dan cadangan boleh dihantar kepada penulis di alyaa@hckmedia.com




SUMBER: http://ift.tt/1O89L9O

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © 2010 • Sabah News by Sapdal Krew • Design by SApdalPBlog