KUALA LUMPUR, Jalur Gemilang yang diarak pada perarakan kontinjen sempena sambutan Hari Kebangsaan 2015 di Dataran Merdeka, pagi semalam, tidak terbalik.


Menurut laman web rasmi Jabatan Penerangan yang terletak di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia, kepala bendera yang terdiri daripada bulan sabit dan bintang perlu diusung mendahului perarakan.

Ini bermakna, cara bendera itu diarak adalah betul dan mematuhi protokol ditetapkan, iaitu bulan sabit dan bintang terletak di penjuru kiri atas.

“Jika bendera dibawa berarak secara terbentang, bahagian kepala bendera (bulan sabit dan bintang) hendaklah diusung mendahului perarakan, sama seperti jika ianya dibawa dengan tiang bendera,” demikian menurut maklumat yang disiarkan di laman web rasmi jabatan berkenaan.
Maklumat mengenai cara Jalur Gemilang diarak yang betul.Maklumat mengenai cara Jalur Gemilang diarak yang betul.
Semalam, gambar Jalur Gemilang diarak, ketika perarakan kontinjen sempena sambutan Hari Kebangsaan 2015 di Dataran Merdeka, tersebar di media sosial.

Gambar yang dikongsi di laman Facebook Oh! Media itu menerima pelbagai maklum balas daripada warga maya, termasuk ada yang mendakwa ia diarak secara ‘terbalik’.

Seorang pengguna Facebook bernama Mohamad Fitri berkata: “Apabila bendera diarak, bahagian bulan sabit dan bintang mesti di hadapan. Tiada apa-apa yang tidak munasabah tentang bendera ini.”

Bagi Hisham Salim pula: “Saya melihat siaran langsung di televisyen dan menyedari ada sesuatu yang tidak kena dengan kedudukan bendera.”

Mohammad Faiq berkata: “Ia tidak terbalik, lihat dengan teliti. Gambar itu diambil dari sudut berbeza. Sudah pasti ia akan kelihatan terbalik.”

Gambar itu turut dikongsi lebih 40 kali dan menerima lebih 600 like.

Bekas penyampai radio, Patrick Teoh yang turut terbabit dalam kekeliruan itu, memohon maaf kerana mengkritik pembawa Jalur Gemilang.

“Saya mohon maaf kepada semua atas kesilapan yang bodoh dan cuai ini,” tulisnya di laman Facebook milik beliau.