DI gelanggang WWE, seorang penggusti setengah mati dibelasah lawannya. Dia menjerit melolong minta tolong. Kemudian datang seseorang yang diketahui adalah sekutu rapatnya. Anehnya, penggusti yang baru datang itu bukan membantu sebaliknya turut sama membelasah ‘rakannya’ itu. Suasana menjadi gamat susulan adegan yang tidak terduga oleh sesiapa. Adrenalin merembes deras dalam tubuh setiap orang yang berada di dalam arena.
Itulah suasana yang dahulu dianggap luar biasa tetapi sekarang sudah jadi kebiasaan di gelanggang gusti pada era WWE.
Tidak ada kawan yang kekal, tidak ada lawan yang kekal. Apa yang akan sentiasa kekal ialah kepentingan. Seperti ahli gusti, ahli politik juga harus berpegang pada kenyataan ini!
Azmin Ali kelmarin dengan penuh yakin menegaskan bahawa PKR tetap mahu menjalin kerjasama dengan Pas – kenyataan yang pasti menggetarkan gegendang telinga Mat Sabu, juga Lim Guan Eng.
“Ini bukan pendirian peribadi saya, tetapi pendirian parti (PKR) mengikut apa yang diputuskan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim,” kata Azmin di Kuala Selangor, tengah hari kelmarin.
“Kita sudah pun berbincang mengenai perkara ini termasuk mengambil kira pandangan dan maklum balas yang diterima (Anwar sebagai) ketua umum,” ujarnya lagi.
Kopi
Azmin bukan budak kopi – seperti Saiful Bukhari - dalam PKR. Beliau timbalan presiden parti. Lebih daripada itu, kedudukan sebagai Menteri Besar Selangor meletakkannya pada posisi yang sangat berpengaruh, lebih berpengaruh daripada Wan Azizah sendiri. Kata-katanya boleh diterima sebagai suara rasmi parti.
Petang kelmarin juga, Mat Sabu dilaporkan telah menemui Wan Azizah - mungkin untuk mendapatkan penjelasan Kak Wan mengenai kenyataan timbalannya itu. Siapa yang tidak bergundah gulana jika ketika masih berbulan madu, suami sudah menyebut mahu berkahwin lagi. Itulah yang seharusnya dirasai oleh Abang Mat.
Sebenarnya, apa yang dikatakan oleh Azmin sekadar respons terhadap kenyataan Guan Eng bahawa partinya tidak akan berbaik semula dengan Pas dalam masa yang terdekat.
Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan ketika diminta mengulas kemahuan PKR untuk terus bekerjasama dengan parti itu, tidak menyatakan kesimpulan secara tuntas. “Pas perlu belajar daripada pengalaman,” katanya, membayangkan parti itu selepas ini akan lebih berhati-hati dalam membuat keputusan untuk membentuk atau menyertai sebarang pakatan politik.
Bagaimanapun seperti kenyataan yang dibuat oleh bosnya, Abdul Hadi Awang di Kuala Terengganu pada hari yang sama – kelmarin – Pas dibayangkan sebagai tidak kisah jika perlu bergerak sendirian.
“Pas ada kekuatan yang tersendiri,” kata Abdul Hadi ketika ditanya oleh pemberita, dan itulah juga kata-kata Takiyuddin ketika dihubungi wartawan Sinar Harian dari Shah Alam.
Apa yang disebut oleh kedua-dua pemimpin Pas itu bukan cakap kosong. Tahun ini, usia Pas sudah masuk 64 tahun. Dalam tempoh itu, parti tersebut sudah melalui bermacam-macam pengalaman. Seperti yang disebut oleh Abdul Hadi, Pas pernah bekerjasama dengan parti komunis sebelum merdeka, dengan sosialis, dengan Perikatan dan kemudian BN, selepas itu bergerak sendiri semula sebelum bersama dengan Gagasan Rakyat (1990) dan Pakatan Rakyat bermula PRU12.
Maka, Pas memangnya tidak kisah untuk terus menduda selagi tidak bertemu dengan pasangan yang benar-benar sehati sejiwa.
Apa yang menjadi teras kekuatan Pas untuk bergerak sendiri ialah parti itu lebih mengutamakan perjuangan agama dan dakwah menerusi politik, bukan meletakkan kemenangan atau kerusi pilihan raya sebagai target wahid. Sebab itu dalam sejarahnya, Pas pada 1982 dan 1986 hingga 1990 pernah memenangi hanya satu kerusi Parlimen iaitu di Pengkalan Chepa, Kelantan menerusi Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Nik Abdullah Arshad.
Hanya dalam beberapa dekad kebelakangan, setelah bergabung dengan kem Anwar bermula era reformasi dan berpeluang merasa empuknya kerusi wakil rakyat, sebilangan pemimpin dan ahli Pas mula kabur akan matlamat asal mereka.
Slogan ‘Menuju Putrajaya’ sudah menusuk dan merasuk minda. Pelbagai alasan dicungkil, dirungkas dan digembar-gemburkan untuk membenarkan bahawa perjuangan Islam harus bersifat kontemporari, realistik dan berpijak di bumi nyata, bukan siang malam menelaah kitab-kitab lama mencari keredaan ALLAH semata-mata.
Kini, kumpulan itu yang dinyahkan daripada kepimpinan Pas pada pemilihan lalu, kemudian menyahkan diri mereka sendiri dari parti itu, ghairah memposisikan diri sebagai ahli politik Islam yang progresif, yang sedia mengambil alih tempat tok-tok lebai konservatif, bernaung di bawah label sementara – Parti Pekerja Malaysia – untuk mengisi ruang yang ditinggalkan Pas dalam pakatan pembangkang yang baharu.
Selain pendirian parti – yang patuh pada keputusan Anwar sebagaimana yang disebutnya – Azmin juga mempunyai sebab yang tersendiri untuk mempertahankan Pas. Ketika kemuncak krisis politik Selangor setelah pencalonan Wan Azizah sebagai menteri besar ditolak secara tersirat oleh istana, Pas yang menyokong kuat pelantikan beliau kerana pada masa itu, partinya sendiri (baca: Anwar) lebih berkehendakkan Wan Azizah, demikian juga DAP.
Meskipun Pas sebelum itu bersungguh-sungguh mempertahankan Khalid Ibrahim, namun sebagai orang agama, parti itu harus lebih cenderung menyokong lelaki sebagai ketua berbanding wanita. Dengan pilihan yang ada, Azminlah orangnya walaupun Pas sebenarnya boleh juga menampilkan calon sendiri.
Haram
Menariknya di sebalik kenyataan Azmin kelmarin, apa mungkin satu senario politik yang pernah berlaku pada musim 1990-1995 akan berulang?
Perpecahan Umno pasca pemilihan 1987 telah melahirkan Semangat 46. Untuk berhadapan dengan BN pada pilihan raya 1990 – setelah Umno dihalalkan semula selepas diharamkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Feb 1988 – Semangat 46 yang diketuai Ku Li bergabung dengan Pas dan parti-parti Islam yang lain iaitu Berjasa, Hamim (Hizbul Muslimin) dan Kimma (Kongres India Muslim Malaysia) dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU).
Oleh sebab Pas – yang ketika itu diketuai oleh Fadzil Noor – enggan sebumbung dengan DAP, Semangat 46 terpaksa membina khemah baharu untuk duduk bersama parti-parti bukan Islam atau yang tidak berteraskan Islam iaitu DAP, PBS (Parti Bersatu Sabah), PRM (Parti Rakyat Malaysia - sosialis) dan IPF (Indian Progressive Front) untuk mendapat sokongan bukan Melayu/ bukan Islam.
Pas pada masa itu mungkin sudah mengesan masalah jika DAP diterima untuk sebumbung kerana dasar yang bertentangan (Langkah mayat saya dahulu jika mahu tubuh negara Islam: Karpal Singh) akan sentiasa mengganggu kerjasama politik yang diusahakan untuk menumbangkan BN.
Duduk sebumbung, DAP yang agresif dan bernafsu besar seakan tidak ada pembatas untuk mencampuri urusan dalaman Pas bagi memastikan parti itu menerima perjuangannya ataupun sekurang-kurangnya mempunyai pengaruh di dalam badan Pas sendiri untuk bersetuju dengannya. Itulah yang didakwa oleh pemimpin Pas bahawa DAP ada ‘cai’ yang tersendiri pada pemilihan parti itu yang lalu.
Meskipun dalam politik ‘tidak ada kawan yang kekal, tidak ada lawan yang kekal, yang ada hanya kepentingan yang kekal’ dan politik adalah seni serba mungkin (the art of possible) atau tidak ada yang mustahil dalam politik, bergabung semula dengan DAP adalah sesuatu yang tidak mungkin kita akan dapat lihat dalam masa yang terdekat.
Kata-kata Takiyuddin - “Pas perlu belajar daripada pengalaman, terutama sewaktu bersama PR” – boleh dianggap manifestasi kekesalan yang sekali gus menunjukkan, untuk mengatur lagi kerjasama seumpama itu, Pas perlu lebih, lebih dan lebih berhati-hati.
Memang benar, ketika menyertai APU, dua daripada lima parti yang membentuk koalisi itu adalah serpihan Pas sendiri iaitu Berjasa dan Hamim namun untuk Pas sebumbung semula dengan bekas orangnya yang kini bernaung di bawah payung Parti Pekerja adalah sesuatu yang sukar untuk dilaksana. Pas sendiri mengambil masa berdekad untuk terima semula Berjasa dan Hamim, itupun setelah kedua-dua parti itu tidak lagi dipimpin oleh bekas pemimpin Pas yang mengasaskannya.
Apa pun, seperti ahli gusti, ahli politik juga boleh berubah pendirian mengikut kepentingan. Dan ketika itu, orang yang berada di sekitar gelanggang yang ghairah melayan rasa sensasi menonton drama dimainkan mereka, pasti akan terpinga-pinga. Pas perlu lebih berhati-hati supaya pisang tidak berbuah dua kali. Parti itu juga akan lebih mendapat sokongan - yang asli - jika terus menyendiri.
SUMBER: http://ift.tt/1UIVDTy
0 comments:
Post a Comment