Kehadapan PM: Kesetiaan atau 1MDB?

FREE MALAYSIA TODAY


Dato’ Sri Perdana Menteri, maaf sekiranya tulisan ini mengguris hati tetapi biarlah termaktub di sini, saya dan anak muda lainnya bukan penderhaka persis Jebat tetapi kami juga bukan Tuah yang setia membabi buta.
 
 
 
najib-funding-1mdb

Oleh Aizat Fikri Nasir Fikri

Salahkah cari dana politik?

Benarlah Melayu mudah lupa. Sentimen Melayu mudah terbakar dan meledak apabila diasak oleh isu yang bersangkutan kepentingan mereka dan negara. Namun, diam mereka tidak bermakna isu itu terus terbelasungkawa begitu sahaja. Ia membuku di dalam hati, menunggu masa untuk masak ranum sebelum bersemarai. Dengan permainan media massa yang seterusnya meredakan isu dengan hal-hal lainnya, lambat laun suara-suara ini akan semakin sayup. Situasi ini sinonim dengan kepimpinan Dato’ Sri Perdana Menteri yang berada dalam kemelut belakangan ini. Kredibiliti beliau dipertikai lewat isu pemindahan wang RM2.6 biliion ke dalam akaun peribadinya.

Apabila perkara ini berlaku, rakyat naik hairan dan naik angin hingga orang-orang penting dalam parti sendiri mempersoalkan letak duduk perkara sebenar. Muncul secara tiba-tiba seorang menteri pencen selaku spokesperson Dato’ Sri Perdana Menteri menjawab persoalan dari seorang anak menteri besar dengan membuat perbandingan apakah salah untuk seorang menteri besar mencari dana politik dan apakah perbezaannya dengan situasi Dato’ Sri Perdana Menteri sekarang. Perbuatan ini tidak salah. Persoalannya, adakah dana tersebut disalurkan ke akaun peribadi menteri besar berkenaan? Saya ingin minta menteri pencen berkenaan untuk tampil memberi bukti sekiranya ada mana-mana menteri besar yang pernah berbuat demikian.

Apa definisi rasuah sebenarnya?

Menjadi kelaziman untuk wang berupa sumbangan dimasukkan ke dalam akaun khas atas nama parti. Perkara ini diamalkan di setiap UMNO perhubungan negeri, malah ada juga ketua bahagian yang tidak tahu akan transaksi pengaliran masuk dana ke dalam akaun parti. Namun, harus ditegaskan di sini, sebarang derma dan sumbangan disalurkan terus ke dalam akaun khas parti dan tidak sesekali ke akaun peribadi pemimpin. Persoalannya, bukankah terma untuk senario ini digelar rasuah? Jika hal ini dihalalkan sekarang, bagimana untuk kita mentakrifkan terma rasuah? Apakah justifikasi dan implikasi perbuatan rasuah? Apakah Dato’ Sri Perdana Menteri sendiri tidak mengambil kira risiko yang bakal dihadapi dengan membenarkan wang sedemikian banyak dimasukkan ke dalam akaun peribadi? Apakah wang itu akan dipindahkan terus ke akaun khas parti? Bilakah perkara itu akan dilakukan? Apakah status wang tersebut? Apakah ia bakal menjadi sebahagian pusaka famili Dato’ Sri? Mengapa perlu menunggu parti pembangkang menamakan sumber dana yang dikumpul mereka sebelum Dato’ Sri membuat pengumuman? Apakah perlu bermain tarik tali dalam senario sebegini tatkala amanah dan integriti Dato’ Sri sebagai peneraju negara dipertikaikan? Isu-isu inilah yang bersarang di minda rakyat.

Ramai yang melontarkan pendapat, mengkritik dan meminta pencerahan daripada Dato’ Sri Perdana Menteri untuk mengetahui letak duduk perkara sebenar. Suara yang kedengaran ini majoritinya orang muda. Pelbagai persoalan bertalu-talu menyerang minda berpusar sekitar sumber wang tersebut, sebab-musabab ia dipindahkan ke akaun bank Dato’ Sri Perdana Menteri, untuk tujuan apakah wang itu disalurkan dan apakah ROI (return on investment) yang bakal diterima oleh pihak yang memasukkan wang berkenaan. Apakah wujudnya perjanjian sahih hitam putih antara Dato’ Sri Perdana Menteri dengan pihak yang satu lagi, apakah keuntungan yang diraih dan apakah cagaran yang dijanjikan negara.

Kami bukan penderhaka

Namun, jangan pula disalah tafsir suara itu bernada serupa – semata-mata ingin menghentam Dato’ Sri Perdana Menteri akibat terpengaruh oleh dakyah parti pembangkang. Saya mohon Dato’ Sri Perdana Menteri mengkaji dan mencerakinkan suara-suara itu sama ada ia kritikan membina atau membinasakan.
Janganlah anak muda seperti saya, Syed Saddiq atau Akmal Saufi dianggap biadab dan derhaka pada parti dan Dato’ Sri. Saya berasa sungguh kecewa apabila suara dan perbuatan kami dilabel “menderhaka” sehinggakan Dato’ Sri Perdana Menteri menghantar ‘si kuda tua pencen’ untuk mendiamkan suara-suara kami. Bukankah Dato’ Sri sendiri yang menggagaskan beliawan dan beliawanis yang analitikal, berfikiran jauh dan berwawasan? Dato’ Sri juga terang-terangan tidak menggalakkan budaya “yes man” di kalangan menteri kabinet dan itulah peranan yang kami mainkan kini. Kami memerhati perjalanan pentadbiran Dato’ Sri – yang betul pastinya disokong penuh – yang salah pula ditegur dengan niat ikhlas agar negara kekal di landasan yang cemerlang. Adalah penting untuk pemimpin dan rakyat bersimbiosis dalam ekosistem politik-sosial-ekonomi yang sihat.

Sejujurnya, kamilah yang sering mempertahankan Dato’ Sri dan UMNO ketika Dato’ Sri dicaci dan dimaki. Kamilah benteng pertahanan hadapan Dato’ Sri di dalam dan luar negara sedangkan pada masa yang sama kabinet Dato’ Sri membisu seribu bahasa tatkala Dato’ Sri dikecam hebat. Menelusuri sejarah, darah perjuangan UMNO mengalir panas dalam urat nadi dan tubuh saya. Saya membesar dalam semarak api nasionalis yang melingkari susur galur titisan keturunan saya. Saya masak benar oleh permainan politik yang banyak pancaroba dan sandiwara. Oleh itu, saya yang juga sebahagian suara-suara anak muda ini mesti dipandang serius kerana pengaruh kami besar – kuasa mengundi berada di tangan kami – nasib pemimpin dan hitam putih negara bakal terencana oleh keputusan yang kami ambil.

Para penasihat PM juga perlu dirombak

Ini bukan era 70an atau 80an – orang kebanyakan tidak mempersoal polisi dan keputusan yang dibuat pemimpin justeru mereka tidak mempunyai akses untuk menyuarakan pandangan mereka. Namun kini, internet memungkinkan segalanya. Tanpa penjelasan yang munahasabah dan lengkap daripada mulut Dato’ Sri Perdana Menteri, laman-laman sosial media sudah mula mencanang berita itu dan ini berunsur negatif dan ia boleh dibaca di mana-mana sahaja ceruk dunia.

Yang saya musykil di sini, apakah peranan yang dimainkan oleh para penasihat Dato’ Sri? Apakah bijak-bijak pandai yang dilantik itu tidak mampu memberikan buah fikir bernas untuk menjernihkan kemelut yang melanda sekarang? Atau mereka sendiri yang menjadi duri dalam daging, api dalam sekam yang perlahan-lahan cuba mensabotaj Dato’ Sri atas kepentingan sendiri atau fahaman parti yang dipegang oleh mereka? Ada antara mereka yang saya kenal secara peribadi secara tanpa berselindung mengkritik Dato’ Sri dan polisi kerajaan di belakang Dato’ Sri. Mereka hanya bekerja makan gaji, namun tidak jujur menjalankan amanah yang diberikan. Saya percaya mereka ini anti-kerajaan dan secara senyap cuba melemahkan pemerintahan Dato’ Sri. Parasit-parasit berbahaya inilah mesti dicantas sebelum ia membinasakan seluruh sistem. Penyiasatan menyeluruh perlu dilaksanakan selari dengan tindakan Dato’ Sri merombak Kabinet baru-baru ini. Barangkali sudah sampai masa dan ketika penasihat-penasihat sedia ada juga perlu dirombak.

Jangan biar pembangkang menangguk di air keruh

Dalam masa sekarang saya melihat sentimen rakyat sangat bergelora. Tanpa berselindung, suka saya nyatakan di sini, jika sesuatu yang tuntas tidak dilaksanakan, UMNO akan kalah teruk dalam pilihan raya akan datang dan tidak mustahil untuk parti pembangkang melebarkan sayap kuasa. Rakyat tidak meminta lebih. Benar, kebanyakan rakyat di luar bandar masih perlu dibantu dan langkah Dato’ Sri Perdana Menteri menganjurkan BRIM wajar dipuji, namun adalah perlu diingat “cash is not king” yang boleh membeli semua orang dan menggerakkan dunia. Jika sikap ini berterusan, politik wang akan berleluasa dan bermaharajalela dengan sewenang-wenangnya sekali gus membawa kepada kekalahan UMNO.

Generasi muda semakin goyah kepercayaan mereka terhadap kepemimpinan Dato’ Sri. Integriti dipersoal dan polisi-polisi kerajaan dijadikan lelucon lewat forum di Facebook atau status di Twitter. Mereka hilang hormat dan hal ini bertambah parah apabila mereka disogokkan dengan dakyah-dakyah daripada parti pembangkang yang sememangnya menangguk di air keruh. Dato’ Sri Perdana Menteri lihatlah sendiri kedapatan pelajar-pelajar Malaysia di luar negara yang lebih rela menghambakan diri di negara asing daripada pulang ke tanah air justeru beranggapan Malaysia negara yang korup dan tidak menjanjikan masa depan yang cerah. Ini satu kehilangan besar buat negara yang memerlukan sokongan teknokrat-teknokrat dan cendekia-cendekia muda yang berkobar-kobar semangat serta segar ilhamnya. Usahlah angkara nila setitik, rosak susu sebelanga.

Dato’ Sri Perdana Menteri, maaf sekiranya tulisan ini mengguris hati tetapi biarlah termaktub di sini, saya dan anak muda lainnya bukan penderhaka persis Jebat tetapi kami juga bukan Tuah yang setia membabi buta.

(*) Aizat Fikri Nasir Fikri adalah Timbalan Presiden UMNO London.

SUMBER: http://ift.tt/1LN89wu

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © 2010 • Sabah News by Sapdal Krew • Design by SApdalPBlog