HIMPUNAN BAJU MERAH MULA CELARU, LEBIH BAIK BATALKAN SAJA!!

shahbudindotcom

 
 
Beberapa hari sebelum himpunan baju merah pada 16 September ini, kecelaruan mula berlaku di sana sini dan sesama mereka yang terlibat dengannya.

Gabungan NGO-NGO Melayu yang diketuai oleh Jamal Mohd Yunus tetap mahu berarak dengan baju merah melalui beberapa kawasan di Bukit Bintang sebelum menuju ke destinasi akhir di Padang Merbok.

Pesaka yang dipilih sebagai penganjur pula hanya mahu berkumpul di Padang Merbok. Mereka juga tidak menetapkan sebarang tema warna kepada peserta, boleh berbaju merah, hitam atau apa saja.

Malah, Pesaka mengatakan baju merah bukanlah sebahagian daripada mereka.

Mungkinkah nanti himpunan 16 September itu menjadi berbelang-belang warnanya? Tak kelakar ke?

Lalu, di mana kesepakatan dan solidaritinya? 

Pesaka turut tidak meletakkan sebarang sasaran jumlah kehadiran, tetapi Jamal mengatakan pihaknya akan mengumpul seramai 30 ribu peserta bagi tujuan itu.

Kenapa hanya 30 ribu? Mana angka yang diwar-warkan dulu kononnya sejuta peserta, 500 ribu, 300 ribu dan sebagainya?

Kalau nak lawan Bersih 4 dan menunjukkan sokongan kepada Najib Razak, bukankah jumlah yang munasabah ialah sekurang-kurangnya 500 ribu?

Jika tidak, malulah Pahlawan Bugis!!

Dalam pada itu, walaupun UMNO melalui Setiausaha Kerjanya, Abd Rauf Jusoh akhirnya mengakui penglibatan parti itu dalam mengerahkan kehadiran ahli-ahli UMNO seluruh negara ke himpunan tersebut, banyak pihak jelas tidak bersetuju dengannya.

Pakar sejarah, Dr Ramlah Adam nyata tidak senang dengan himpunan baju merah yang dirancang itu manakala adik Najib, Nazir Razak  pula mengatakan beliau akan meraikan kepelbagaian serta tidak akan berbaju merah sempena sambutan Hari Malaysia itu nanti.

Tun Mahathir, Rafidah Aziz dan ramai lagi semuanya juga tidak setuju.

Pemimpin komponen BN lagi tidak setuju dengan himpunan baju merah yang lebih bercorak perkauman dan hanya melibatkan satu-satu kaum saja serta dalam masa yang sama ingin menunjukkan kekuatan kepada kaum yang lain.

Dengan ini kebarangkalian untuk BN lebih menjarak daripada pengundi bukan Melayu selepas himpunan baju merah ini adalah paling mungkin sekali.

Dalam negara berbilang kaum, tiada sebarang himpunan melibatkan kaum patut dibenarkan. Jika ia berlaku, reaksi daripada kaum lain akan muncul selepasnya dan akhirnya semua kaum akan bebas berarak di jalan-jalan sepanjang masa untuk menuntut dan memperjuangkan hak mereka.

Apa jadi akhirnya? 

Sudah tentu keharmonian dan kedamaian sesama rakyat akan terjejas. Hubungan dengan jiran tetangga daripada kaum lain dan kemesraan dengan rakan berbilang bangsa serta pergaulan anak-anak di sekolah pastinya tidak seharmoni dulu lagi.

Semuanya akan rosak binasa.

Sebelum api ini memusnahkan segala-galanya, adalah lebih baik Najib Razak mengambil tindakan mengeluarkan arahan membatalkan saja himpunan pada 16 September ini.

Meskipun pada awalnya Najib mengatakan tiada halangan dan tidak melarang ahli-ahli UMNO menghadirinya, mungkin kerana merasakan ia untuk memberi sokongan kepadanya, lebih terpuji jika Najib segera menarik balik semua itu.

Sudah cukup isu 1MDB, derma RM2,600 juta dan isu Altantuya yang timbul kembali kian menghakis sokongan rakyat terhadapnya, himpunan baju merah ini juga tidak menyumbang apa-apa keuntungan atau bonus tambahan kepadanya.

Tidak seperti Bersih 4 yang ada asas perjuangannya, himpunan baju merah hanyalah medan pembodek dan pengampu mempamerkan aksinya sambil memasang angan-angan untuk mengaut laba diri sendiri sahaja.

Sekali lagi, demi keharmonian dan semangat Hari Malaysia, lebih baik Najib batalkan segera, setidak-tidaknya dapat juga menjimatkan lebihan derma RM2,600 yang masih disimpannya!!


SUMBER: http://ift.tt/1OMYpVY

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © 2010 • Sabah News by Sapdal Krew • Design by SApdalPBlog