PM jangan permain Sabah dan Sarawak

Jimmy Wong

 


Pada 16 September 2015 sebuah dokumen untuk memperingati hari Malaysia ke-52  ditandatangani oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Adenan Satem dalam sebuah acara di Padang Merdeka Kota Kinabalu.

Meskipun hari Malaysia adalah sesuatu yang perlu diperingati oleh seluruh rakyat, saya berpendapat, apa yang lebih penting ialah pelaksanaan segala janji, sumpah dan amanah yang telah diikrarkan kerajaan dalam pembentukan Malaysia.

DAP Sabah mengingatkan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hanya perlu menjalankan amanahnya demi memastikan perjanjian 20 perkara pembentukan Malaysia terlaksana.

Perkara ini selari dengan sumpah Kerajaan Malaysia di Batu Sumpah Keningau pada 31 Ogos 1964 termasuk memberikan autonomi kepada Sabah dalam menentukan hala tuju Sabah sebagai sebuah rakan kongsi yang membentuk Persekutuan Malaysia.

DAP Sabah bersetuju dengan cadangan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang mengenai empat perkara permulaan yang perlu dilakukan Najib bersempena sambutan Hari Malaysia ini iaitu:

1) Mengisytiharkan persetujuan Putrajaya untuk memberikan autonomi pendidikan kepada Sabah dan Sarawak yang berkuatkuasa 1 Januari 2016.

2) Perbahasan dua hari di Parlimen berhubung peruntukan untuk Sabah dan Sarawak sebelum pembentangan Bajet 2016.

3) Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyemak adakah impian dan aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak telah tercapai selama membentuk Persekutuan Malaysia 52 tahun lalu.

4) Mengiktiraf Batu Sumpah Keningau sebagai warisan Sabah untuk mengingatkan kerajaan kepada sumpah dan janji terhadap rakyat di pedalaman Sabah berhubung tiga perkara utama iaitu mengenai kebebasan beragama, hak tanah dan adat istiadat.

Tanpa pernyataan komitmen Najib, saya melihat majlis menandatangani dokumen peringatan hari Malaysia di Padang Merdeka Kota Kinabalu yang bakal berlangsung 16 September ini hanya sekadar retorik dan cuba membohongi rakyat Sabah.

Saya ingin bertanya secara jujur kepada perdana menteri adakah beliau benar-benar jujur untuk memberikan autonomi kepada Sabah dan meletakkan Sabah setaraf dengan Semenanjung Malaysia yang menikmati pelbagai tumpuan pembangunan?

Sabah terus ketinggalan dalam pembangunan yang holistic dimana masih ramai kumpulan masyarakat rakyat negeri ini yang terabai khususnya dalam pembangunan modal insan, pembangunan infrastruktur kemudahan awam, pengangkutan awam, perumahan dan sebagainya.

Kerajaan pimpinan Najib dan BN Sabah juga dilihat kurang berminat untuk membela hak Orang Asal dan anak negeri di Sabah.

Ini kerana, semakin banyak tanah NCR diberikan kerajaan Sabah kepada syarikat swasta sehingga menyebabkan penduduk kampung hilang mata pencarian dan hak mereka.

Begitu juga dengan tindakan kerajaan terhadap Laporan Suruhanjaya Siasatan Pendatang Tanpa Izin yang nampaknya tidak menunjukkan sebarang tindakan drastik sehinggalah berlakunya pencerobohan berdarah di Lahad Datu.

Selain itu, adakah BN peduli terhadap masa depan masyarakat khususnya di pedalaman Sabah yang masih tidak memiliki kerakyatan akibat kedhaifan sistem capaian dan infrastruktur kemudahan pengangkutan dan jalanraya?

Malah, apa yang menyedihkan, rakyat di Sabah sudah lali dengan isu pemberian ‘MyKad segera’ yang dilakukan pihak tertentu.

Saya yakin, tanpa pernyataan komitmen Putrajaya, majlis menandatangani dokumen peringatan Hari Malaysia akan berakhir sekadar sebuah majlis tanpa sebarang tindakan.


JIMMY WONG MP Kota Kinabalu.



SUMBER: http://ift.tt/1L5v5Na

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © 2010 • Sabah News by Sapdal Krew • Design by SApdalPBlog