200,000 pelajar asing lanjut pelajaran di Malaysia

SINAR HARIAN

Idris Jusoh
Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
 
 
KOTA KINABALU - Kementerian Pendidikan Tinggi menyasarkan untuk menarik 200,000 pelajar asing melanjutkan pelajaran di pelbagai institusi pengajian tinggi awam dan swasta negara ini menjelang tahun 2020, kata Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh.
 
Beliau berkata, ketika ini jumlah pelajar asing yang melanjutkan pelajaran di Malaysia dalam pelbagai bidang ialah seramai 150,000 orang termasuk 27,000 yang mengambil ijazah lanjutan, serta menyumbang RM4.5 bilion setahun kepada pendapatan negara.
 
"Pada 2020, sumbangan pelajar asing kepada negara kita dijangkakan mencecah RM10 bilion," katanya.
 
Idris berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Jelajah Kementerian Pendidikan Tinggi: "Soaring Upwards" di sini hari ini. 
 
Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap Kain Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Seri Ir. Dr Zaini Ujang.
 
Sempena program itu, pelbagai data dan maklumat mengenai pencapaian sistem pendidikan tinggi dan kecemerlangan universiti awam dan swasta Malaysia di peringkat antarabangsa dikongsikan dengan hadirin. 
 
Turut diselitkan penampilan kejayaan bekas pelajar universiti, Kolej Komuniti dan Politeknik di Sabah yang sedang mencipta nama dalam pelbagai bidang kerjaya.
 
Menurut Idris, minat pelajar asing untuk melanjutkan pelajaran di negara ini didorong keupayaan universiti di Malaysia berada antara universiti terbaik di dunia seperti dalam penyelidikan termasuk bidang tenaga, kejuruteraan dan sistem kewangan Islam.
 
Sebagai contoh, katanya, daripada segi subjek, QS World University Rankings meletakkan Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaya (UM), masing-masing pada kedudukan 31 dan 32 dunia dalam subjek Pengajian Pembangunan dan Sains Persekitaran manakala Universiti Putra Malaysia (UPM) pula berada di kedudukan 54 dunia dalam subjek Sains Pertanian.
 
Katanya, USM, UM, Universiti Teknologi Malaysia dan UPM juga berada pada kedudukan 100 terbaik dunia daripada segi subjek bagi lebih daripada 10 bidang pengajian lain.
 
Mengenai program jelajah itu, Idris berkata program itu akan diteruskan ke  bandar utama di seluruh negara bagi menjelaskan dan berkongsi maklumat dengan rakyat mengenai pencapaian pendidikan tinggi Malaysia di dalam dan luar negara. - Bernama
 
 


SUMBER: http://ift.tt/1ETYJ5y

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © 2010 • Sabah News by Sapdal Krew • Design by SApdalPBlog