BERNAMA
Ahmad Zahid (tengah) menegaskan, demonstrasi jalanan bukanlah budaya Malaysia dan ia tidak seharusnya diamalkan di negara ini. - Foto Bernama
SERIAN, Rakyat diminta tidak lagi menggunakan demonstrasi jalanan untuk menyuarakan pandangan, sebaliknya mereka digesa menggunakan pelbagai forum lain.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, demonstrasi jalanan bukanlah budaya Malaysia dan ia tidak seharusnya diamalkan di negara ini.
“Sudah sudahlah, saya tidak mahu lagi ada demonstrasi baju kuning atau baju merah lagi selepas ini…banyak forum lain untuk pihak yang tidak puas hati meluahkan pandangan, selain daripada keluar ke jalanan unuk mengadakan demonstrasi.
“Malaysia ialah sebuah negara demokratik dan kita ada pilihan raya untuk memilih kerajaan dan pemimpin, bukannya dengan cara berdemonstrasi di jalanan,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat, di Kampung Terbat Teban, Tebakang, hari ini.
Sambil menegaskan beliau amat tidak bersetuju dengan tindakan mana-mana pihak mengadakan demonstrasi jalanan, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, rakyat perlu menghormati undang-undang di negara ini.
Beliau berkata, pemimpin negara datang dan pergi, tetapi rakyat perlu menghormati sistem demokrasi Malaysia dan pemimpin yang dipilih menerusi proses itu.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, pemimpin yang dipilih perlu turun padang membantu rakyat, bukannya hanya muncul apabila menjelang pilihan raya.
Menurutnya, kerajaan Barisan Nasional (BN) sememangnya serius dalam usahanya membangunkan rakyat, terutama mereka di luar bandar.
“Saya berasal dari kampung dan saya amat memahami masalah dan keperluan penduduk di luar bandar, terutama keperluan kesihatan dan pendidikan mereka,” katanya.
Beliau turut mengingatkan rakyat supaya berwaspada dan tidak mudah terpengaruh dengan fitnah parti pembangkang yang disiarkan di laman media sosial.
Menurutnya, permainan politik pembangkang hanyalah untuk memecahbelahkan rakyat dan jika ia berlaku, rakyat perlu membayar ‘harga’ terlalu mahal untuk mengatasinya.
Sementara itu, Ahmad Zahid meminta rakyat mengetepikan perbezaan kaum, budaya dan agama demi memelihara keamanan negara dan keharmonian kaum.
“Kita harus bersama-sama menganggap tanah Malaysia ini sebagai negara kita bersama. Rakyat Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia wajar bersatu hati, walaupun berbeza kaum dan agama…kita harus ada semangat untuk bersama-sama membangunkan negara kita,” katanya.
Pada majlis itu, Ahmad Zahid mengumumkan peruntukan RM300,000 untuk kawasan Parlimen Serian, termasuk kos membaik pulih Balai Raya Kampung Terbat Leban.
SUMBER: http://ift.tt/1MvZHVf
0 comments:
Post a Comment