Mesej Dari PM :Bersatu Menjelang Eidil Adha Pertahankan Perlembagaan

Sikap berpuak-puak lemahkan umat Islam 

Hussaini Amran:24 September 2015 @ 12,53am

Najib Tun Razak
KUALA LUMPUR 23 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru umat Islam di negara ini supaya mengetepikan fahaman politik untuk bersatu dan berganding bahu dalam mempertahankan keamanan serta Perlembagaan Persekutuan yang cuba dicabar pihak tertentu. 

Perdana Menteri berkata, sikap berpuak-puak hanya akan melemahkan perpaduan umat Islam serta boleh menggadai kuasa dan maruah yang ada.

Menurut beliau, umat Islam juga mesti bersikap sederhana dalam segala hal dan tidak melampaui batas sebagaimana digariskan ajaran Islam.
“Mengambil semangat tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini iaitu Sehati Sejiwa, umat Islam semestinya bersedia berkorban, bersepakat serta menyatakan kesepaduan terutama dalam soal akidah, syariah dan akhlak.

“Jangan sesekali bekerjasama dengan pihak yang ingin menjadikan kita sebagai jambatan untuk mencapai hajat dan matlamat mereka, sehingga memporak-perandakan negara,” katanya dalam perutusan Aidiladha yang akan disambut esok. 

Najib menambah, kehadiran Aidiladha menuntut umat Islam menghayati natijah di sebalik ritual ibadah korban semata-mata. 

“Muhasabah untuk kita menilai kehidupan kita, sejauh mana kita menghayati hari yang agung ini dan menjadikannya iktibar dalam kehidupan kita?” ujarnya. 

Perdana Menteri juga mengajak umat Islam di negara ini supaya bersama-sama berusaha menzahirkan erti pengorbanan dalam setiap tindak-tanduk seharian bagi menyahut seruan Allah SWT dan Rasul-Nya untuk memenuhi tuntutan iman serta takwa yang diperakui. 

Beliau turut mengingatkan bahawa dunia Islam melihat Malaysia sebagai negara yang istimewa dan merupakan model terbaik pembangunan sebuah negara Islam. 

“Justeru, marilah kita bersatu padu dan memelihara perpaduan masyarakat berbilang bangsa negara ini bagi menjamin kestabilan negara. Islam mengajar kita erti keamanan, perpaduan dan kesaksamaan. Umat Islam diseru untuk menghormati agama lain untuk mewujudkan keharmonian hidup bermasyarakat dan bernegara,” jelasnya.

Sementara itu, Najib merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa insiden kren tumbang di Masjidilharam, Mekah pada 11 September lalu. 

“Semoga seluruh ahli keluarga diberi kekuatan dan kesabaran atas ujian yang menimpa. Semoga Allah SWT mengurniakan sebaik-baik ganjaran,” katanya. Dalam pada itu, Perdana Menteri dalam satu kenyataan melalui laman Facebook dan Twitter beliau hari ini menasihatkan orang ramai agar berhati-hati semasa dalam perjalanan untuk menyambut Aidiladha bersama keluarga di kampung. 

“Kepada yang akan bertolak pulang, hati-hati dan patuhi undang-undang di jalan raya, semoga selamat tiba ke destinasi, insya-Allah,” ujarnya.( Utusan on line-p).Posted  by abnmulya /hj.bakar ninggal.blogspot.com.at 9.27am on Sepetember 24,2015.

SUMBER: http://ift.tt/1LPDWwS

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © 2010 • Sabah News by Sapdal Krew • Design by SApdalPBlog