THE RAKYAT POST
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan melepaskan para peserta 'Run For Peace' di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) hari ini. - Foto Bernama
PETALING JAYA, Perhimpunan Bersih 4 dan ‘Himpunan Rakyat Bersatu’ tidak dianjurkan dengan cara yang betul dan menjejaskan keamanan dan keharmonian negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan berkata di kalangan pemimpin dalam demonstrasi atau perhimpunan tidak harus memimpin dengan elemen kepentingan diri seperti ketaksuban agama dan tiada toleransi etnik.
“Bagi perhimpunan baju kuning saya tiada masalah dengannya, tetapi selain berdemonstrasi untuk ekonomi, keadilan dan pilihan raya adil, mereka meminta Perdana Menteri meletak jawatan. Jadi ini merupakan masalah kerana mereka mesti tahu bahawa perdana menteri dipilih menerusi pilihan raya umum.
“Bagi perhimpunan baju merah, walaupun ia perhimpunan yang sah, terdapat individu yang tidak bertanggungjawab yang telah menimbulkan isu berbaur perkauman menerusi ucapan dan poster mereka,” katanya kepada pemberita selepas melepaskan program larian untuk keamanan “Run For Peace 2015′, di Stadium MBPJ di Kelana Jaya di sini hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan – Foto Bernama
Acara ‘Run For Peace 2015′ yang dianjurkan Soka Gakkai Malaysia, sebuah pertubuhan yang berteraskan keamanan, disertai 20,000 peserta dan bertujuan untuk memberi inspirasi kepada orang ramai agar mementingkan keamanan dalam masyarakat.
Larian sejauh lapan kilometer itu menghimpunkan sebanyak 70,000 peserta lagi di 19 lokasi di seluruh negara termasuk Terengganu, Sabah dan Sarawak, yang telah diadakan sejak 6 September lalu sehingga hari ini tanpa melibatkan sebarang pemberian pingat atau kategori.
Jelasnya, rakyat Malaysia patut bersyukur kerana dapat hidup dalam keadaan aman, harmoni dan bebas daripada perang.
Ini kerana keamanan dan keharmonian yang dinikmati di sebalik perbezaan agama dan kebudayaan di negara ini hanya dapat dicapai menerusi teras keadilan sosial, saling menghormati dan harapan untuk masa depan lebih baik.
“Tidak seperti di negara-negara tertentu, kita dapat melihat kemusnahan terhadap kehidupan manusia dan keruntuhan negara. Bagi rakyat terbabit, keamanan hanyalah satu ilusi dan tidak nampak sebarang penyelesaian,” ujarnya.
Menurutnya, rakyat Malaysia tidak boleh mengambil mudah semua itu kerana elemen kebencian dan perpecahan jelas semakin tersebar dalam kalangan penduduk terutamanya di Semenanjung.
SUMBER: http://ift.tt/1Pgz8DY
0 comments:
Post a Comment