Bekas SU Agung Parti Liberal Demokratik Sabah sertai KEADILAN

Oleh Azuan Ab Rahman

PETALING JAYA : KEADILAN hari ini mengumumkan kemasukan bekas Setiausaha Agung (SU) Parti Liberal Demokratik (LDP), Loretto Padua Junior ke dalam parti itu.

Penyertaan Loretto yang merupakan peguam berusia 35 tahun itu diumumkan SU Agung KEADILAN, Rafizi Ramli di ibu pejabat parti, di sini.

LDP merupakan parti komponen Barisan Nasional (BN) dari Sabah. Majoriti keahlian LDP yang diasaskan pada 1989 itu didominasi oleh kaum Cina.

LorettoDalam sidang media pengumuman berkenaan, Loretto yang juga bekas Ketua Bahagian LDP Karambunai itu mengakui kecewa dengan kegagalan Kerajaan BN meningkatkan taraf hidup rakyat Sabah.

Kegagalan itu jelasnya menyebabkan rakyat negeri terus terpinggir.

“Saya tertarik menyertai KEADILAN kerana perlembagaan parti ini sendiri secara terang menyatakan akan menghormati perjanjian Malaysia 1963, ia meliputi apa yang rakyat Sabah sebenarnya inginkan,” jelas Loretto.

Katanya, Kerajaan Persekutuan dilihat tidak bersungguh merialisasikan perjanjian tersebut sehingga menyebabkan rakyat negeri itu rasa terkongkong dan dianaktirikan.

Justeru beliau yakin penyertaannya dalam KEADILAN mampu merialisasikan cita-citanya untuk membela nasib rakyat Sabah.

“Saya akan berjuang untuk hak-hak rakyat Sabah seperti terkandung dalam perjanjian Malaysia itu, malah saya juga akan teruskan perjuangan untuk seluruh rakyat Malaysia.

“Untuk itu, saya mohon orang Sabah bangun dan sedar, hanya gabungan yang kuat boleh mengalahkan Umno BN,” tegas Loretto.

Rafizi berkata, Loretto berperanan untuk membantu KEADILAN memenangi lebih banyak kerusi Parlimen dikuasai etnik Kadazan Dusun Murut (KDM).

“Loretto akan diberi tugas membantu (Ahli Parlimen Penampang) Darell Leiking dan (Pengerusi KEADILAN Sabah) Datuk Seri Lajim Ukin untuk menguatkan lagi arus perubahan Sabah di kalangan pengundi KDM,” jelas Rafizi.

Sidang media itu turut dihadiri Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Yahya Saari dan Pengarah Komunikasi, Fahmi Fadzil.



SUMBER: http://ift.tt/1NytGxa

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © 2010 • Sabah News by Sapdal Krew • Design by SApdalPBlog